Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyampaikan piala kepada penerima dalam kategori Rakan Kongsi Kewangan Terbaik 2018 iaitu Pengerusi Kumpulan Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin (tengah) sambil diiringi Pengerusi Kredit Jaminan Perbadanan Malaysia, Datuk Agil Natt (kiri) dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid (dua knan) pada Majlis Anugerah SME 2018 kali ke- 24 di Sofitel Damansara Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Pengenalan Levi Pelepasan 2019 tidak akan melibatkan umat Islam yang akan menunaikan haji pada Ogos ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kadar formula levi tersebut hanya akan diumumkan beberapa bulan lagi.

Beliau berkata kerajaan tidak akan terburu-buru melaksanakannya kerana mahu memastikan segala infrastruktur sudah tersedia dahulu.

“Levi Pelepasan 2019 hanya melibatkan perjalanan udara ke luar dari negara dan tiada kaitan dengan jalan atau pelabuhan. Keputusan muktamad mengenai jenis kadar levi akan diumumkan kemudian selepas segala infrastruktur tersedia.

“Saya rasa kita tidak perlu terburu-buru dan beri kerajaan masa beberapa bulan lagi,” katanya selepas Majlis Anugerah SME 2018 ke-24 di sini hari ini.

Guan Eng turut memberitahu, umat Islam yang mengerjakan haji dan umrah pertama kali akan dikecualikan Levi Pelepasan 2019 serta formulanya akan diumumkan kelak.

Pada masa sama, golongan kaya akan mendapat rebat penuh manakala pemilik jet peribadi bakal dikenakan Levi Pelepasan 2019.

Hari ini di Dewan Rakyat, penyokong kerajaan dan pembangkang mahu kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang Levi Pelepasan 2019, iaitu cukai yang akan dikenakan kepada mereka yang hendak ke luar negara.

Kalangan wakil rakyat berpendapat cukai itu membebankan rakyat terutama penduduk yang tinggal di negeri yang bersempadan dengan negara jiran.

Mereka turut melihat kumpulan pertama yang akan terkesan dengan pelaksanaan levi pelepasan adalah jemaah haji yang akan menunaikan haji mulai Julai dan Ogos ini.

Kata mereka jika RUU itu diteruskan, kerajaan perlu memberi pengecualian kepada kumpulan berkenaan kerana mereka mahu menunaikan ibadat. – MalaysiaGazette