Datuk Mohamaddin Ketapi. foto HAZROL ZAINAL, 17 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Ia satu kerugian besar sekiranya cukai pelancongan tidak dilaksanakan, kata Menteri Pelancongan, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Menurutnya, cukai yang dikutip daripada pelancong melalui levi pelepasan itu akan digunakan untuk tujuan pembangunan demi rakyat dan negara.

Kata Mohamaddin, industri pelancongan tidak terjejas sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 lulus dan dikuatkuasakan 1 Jun ini.

“Kita juga yang rugi seandainya kita ada banyak pelancong melawat negara tapi kita tidak mahu pula mengenakan cukai. Pelancong hendak datang tapi cukai tidak mahu.

“Rugilah kita. Duit itu kita akan gunakan untuk pembangunan negara serta rakyat.

“Sebab itu, saya fikir levi pelepasan itu tidak akan menjejaskan kemasukan pelancong ke negara ini sebab semua negara telah melaksanakan cukai yang hampir sama,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah membacakan usul RUU Levi Pelepasan 2019 kali pertama dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

“Kadar levi yang dicadangkan RM20 jika menuju ke negara Asean dan RM40 jika ke negara lain. Levi ini tambahan kepada caj perkhidmatan penumpang sebanyak RM73 yang dikenakan oleh lapangan terbang,” ujarnya. –MalaysiaGazette