foto hiasan

KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan untuk memulihkan status Sabah dan Sarawak tidak kesampaian apabila usul meminda Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 gagal beroleh sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat malam ini.

Usul tersebut dibentangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad siang tadi dan merupakan pindaan perlembagaan pertama dibawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambilalih tampuk pemerintahan Mei lalu.

Hanya 138 anggota parlimen menyokong manakala 59 lagi berkecuali.

Sejurus selepas proses undi belah bahagian, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengumumkan keputusan dan disambut oleh segelintir segelintir wakil rakyat PH dengan kata-kata seperti  ‘penderhaka’ kepada pembangkang khasnya dalam kalangan Ahli Parlimen Sabah, Sarawak.

Ada juga yang berkata, ‘tunggu rakyat menghukum’ kelak selepas kegagalan kerajaan dalam meminda RUU tersebut.

Seramai 46 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan usul untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu negeri-negeri Tanah Melayu (kini Semenanjung) seperti termaktub dalam MA 63 semasa pembentukan negara ini.

Antara yang berbahas Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson), Datuk Seri Ronald Kiandee (PH-Beluran) dan Datuk Seri Ismail Sabri (BN-Bera).

Ketika wakil-wakil rakyat menyokong usul pindaan itu yang disifatkan sebagai bersejarah, ketua pembangkang pula membuat rumusan bahawa langkah tersebut terburu-buru.

Perkara itu, menurut mereka, sepatutnya dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk dibincang dengan lebih teliti sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.

Datuk Seri Nancy Shukri (GPS-Batang Sadong) pula mencadangkan usul tersebut ditunda sehingga selesai rundingan Jawatankuasa Kabinet untuk menangani isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mengembalikan keistimewaan kepada Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette