KUALA LUMPUR – Tindakan Pakatan Harapan (PH) menuding jari kepada kerajaan terdahulu dalam isu penyelewengan Tabung Haji (TH) tidak boleh diterima.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun sudah 10 bulan berlalu namun sehingga kini tidak ada ahli lembaga TH mahupun pengurusannya dihadapkan ke mahkamah berhubung dakwaan-dakwaan tersebut.

Ini merupakan bukti jelas ianya tidak lebih daripada retorik PH selama ini, katanya.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera itu mendakwa kelemahan PH sebenarnya dalam ketidakcekapan menguruskan ekonomi sehingga dengan baik sehingga memberi kesan kepada pencapaian TH.

Bagaimanapun katanya, pendekatan PH hanya menuding jari kepada pengurusan TH terdahulu tanpa mengemukakan satu kaedah pengurusan lebih baik memberikan jangka panjang.

“Ini merupakan agihan hibah TH paling rendah dalam sejarah (1. 25 peratus bagi tahun 2018) tapi kerajaan lama dipersalahkan walaupun laporan Audit Negara tidak membuktikan penyewelengan yang disebut itu.

“Sehingga hari ini, selepas hampir 10 bulan PH berkuasa, tidak ada ahli lembaga mahu pun pengurusan TH dihadapkan ke mahkamah kerana penyewelengan yang disebut-sebut itu.

“Tetapi, saya mohon kepada setiap umat Islam negara ini bertanggungjawab mempertahankan TH sebagai ‘jihad ekonomi’. Kekalkan simpanan masing-masing dalam TH.

“Ini untuk memastikan badan berkanun yang ditadbir mengikut Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) terus kekal utuh di dunia seperti sebelum ini.

“Simpanan para pendeposit dijamin selamat walaupun kerugian cuba digembar-gemburkan daripada segi simpan tetap terjamin oleh kerajaan.

“Pada umat Islam, anggaplah ia tanggungjawab kita mempertahankan TH sebagai jihad ekonomi,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Pada Jumaat lalu, pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof agihan hibah atau bonus bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus melibatkan pengagihan RM913 juta kepada semua pendeposit mengejutkan segelintir pihak.

Jelas Mujahid, kerajaan telah mewarisi TH daripada kerajaan sebelum ini dalam suasana yang disifatkannya sebagai amat menyedihkan.

“Selama empat tahun berturut-turut TH telah keluarkan dividen dengan melanggar aktanya sendiri. Kerana itu, kita hadapi masalah jurang defisit tinggi berbanding aset.

“Inilah legasi (dari kerajaan dahulu) bukan apa yang kita buat. Sebanyak RM17.8 bilion adalah kos salah laku dalam TH sebelum ini. Kita harap insya-Allah selepas proses penstrukturan ini TH akan memberikan dividen yang lebih baik,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail Sabri juga menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyiasat TH bagi menyingkap maklumat baharu tentang dakwaan penyelewangan  semasa pentadbiran lepas.

Tegas Ismail Sabri, barisan pembangkang memerlukan satu gambaran lebih adil, jelas dan tepat memandangkan TH sudah diperiksa.

“Pembangkang kesal dan kecewa dengan pengumuman hibah TH baru-baru ini. Pentadbiran lama dan kerajaan lama dituduh seleweng sedangkan akaun TH diperiksa dan diaudit Jabatan Audit Negara,” tegasnya. -MalaysiaGazette