PLUS

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) memandang serius kejadian papan iklan tumbang akibat ribut dan angin kencang yang berlaku petang Ahad lalu.

Syarikat pengendali lebuhraya bertol itu akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak berkuasa tempatan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian berhubung isu kestabilan papan-papan iklan yang berada di luar kawasan lebuhraya.

Ini katanya bagi melindungi keselamatan pelanggan yang berada di lebuhraya kendaliannya.

PLUS juga menggesa semua pihak yang terlibat menguruskan papan iklan di sepanjang lebuhraya, termasuk di luar kawasan lebuhraya supaya mengadakan pemeriksaan dan pemantauan berterusan terhadap kestabilan papan iklan masing-masing bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

“PLUS amat menitik-beratkan aspek keselamatan di lebuhraya kendaliannya dan menasihatkan pelanggan supaya menghubungi talian khidmat pelanggan di 1800 88 0000 atau memuat turun aplikasi PLUS Mobile menerusi Google Play Store atau App Store untuk mendapatkan maklumat trafik terkini dan merancang perjalanan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada kejadian kira-kira 6.30 petang, Ahad lalu, papan iklan yang didirikan di luar kawasan lebuhraya tumbang di KM294.4 (Arah Selatan) berhampiran Persimpangan Bertingkat akibat ribut dan angin kencang.

Tindakan pantas PLUS yang mengarahkan pasukan PLUSRonda dan pasukan penyelenggaraan Propel mengalihkan serpihan papan iklan berjaya membantu melancarkan pergerakan trafik dan memastikan keselamatan pelanggan di laluan terbabit.

Dengan memberi keutamaan kepada keselamatan pelanggan, sejurus maklumat berhubung kejadian tersebut diterima, pasukan PLUSRonda yang tiba di lokasi telah segera menutup laluan untuk menghentikan pergerakan trafik buat sementara waktu bagi kerja-kerja pengalihan.

Lorong terbabit telah dibuka semula sejurus selepas semua kerja-kerja pengalihan selesai dan laluan terbabit selamat digunakan.

Kejadian ribut dan angin kencang turut merosakkan beberapa buah lagi papan iklan di luar kawasan lebuh raya, namun tidak menghalang laluan.- MalaysiaGazette