Saifuddin Nasution
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail .

KUALA LUMPUR – Satu Rang Undang-Undang (RUU) mengenai Food Bank bakal dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggubalan tersebut bertujuan membolehkan proses penggubalan akta bersesuaian dapat dibuat secara menyeluruh bagi melindungi penyumbang dan penerima Food Bank.

Menurut beliau, pihaknya sedang merangka RUU berkenaan dengan mengambil contoh dan pengalaman daripada beberapa negara luar yang sudah mewujudkan undang-undang Food Bank itu.

“Kelebihan apabila wujudnya RUU ini adalah penyumbang akan menjadi lebih yakin untuk meneruskan sumbangan ke dalam program ini.

“Malah, jumlah sumbangan pula sudah pasti akan meningkat dan banyak kelebihan akan kita peroleh sekiranya RUU itu dilaksanakan,” katanya pada Sidang Media selepas Majlis Pelancaran Program Food Bank Siswa Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Pada masa sama Saifuddin berkata, beliau yakin RUU itu akan dapat dibentangkan pada penghujung tahun ini namun, tidak dapat menetapkan tarikh pengumuman kerana ia mancakupi beberapa perkara berkaitan sumbangan makanan.

Terdahulu, UM merupakan universiti keempat melancarkan program Food Bank selepas Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA kampus Permatang Pauh dan Universiti Putra Malaysia.

Program Food Bank Malaysia menjadi titik permulaan kepada usaha kerajaan meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan pembaziran makanan dalam kalangan rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette