Dr. Mujahid Yusof Rawa
Dr. Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR – Walaupun blok pembangkang mahu satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara menyeluruh serta telus pengurusan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji, namun Datuk Seri Dr Mujahid Rawa berpendapat sebaliknya.

Beliau yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, apa yang berlaku dengan Tabung Haji sebenarnya sudah terang lagi bersuluh dan tidak ada ‘logiknya’ untuk menubuhkan RCI bagi menyiasatnya lagi.

“RCI akan dibuat jika ada perkara atau isu yang tidak jelas. Dalam perkara ini, tidak ada apa-apa yang ‘misteri’ sangat dengan apa yang berlaku dalam Tabung Haji.

“Kita (kerajaan) juga komited dalam memulihkan Tabung Haji menerusi peruntukan sebanyak RM17.8 bilion, jadi saya hendak tanya apa gunanya tubuh RCI?

“Apa guna RCI lagi, melainkan mereka hanya nak tutup kelemahan yang telah dibuat dan kita juga telah pulihkan dalam tempoh enam bulan.

“Mungkin kerana nak tutup itu, maka timbulkan isu buat RCI,” katanya kepada pemberita di lobi sebentar tadi.

Mujahid yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar menjawab persoalan pemberita dengan desakan pembangkang mahukan RCI untuk menyiasat kepincangan pengurusan Tabung Haji oleh kerajaan terdahulu.

Jelas Mujahid, tujuan desakan ini tidak lebih daripada menutup kelemahan kerajaan terdahulu dan pihaknya tidak akan melayan perkara seumpama itu.

Terdahulu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri  menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyiasat Tabung Haji bertujuan mencari ‘bukti’ baru dakwaan penyelewengan dalam instutusi Islam ketika pentadbiran lepas.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendesak supaya kerajaan PH menubuhkan RCI bagi menyiasat segala dakwaan dan salah laku yang berlaku di dalam pengurusan Tabung Haji.

Manakala Pas berterusan mengulangi saranan agar satu penilaian bebas dan menyeluruh dibuat melalui RCI atau PAC Parlimen bagi menyiasat dakwaan dan salah laku dalam pengurusan TH.

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata, ini membolehkan setiap laporan dan syor yang dikemukakan Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia dapat diteliti demi memperkasakan kedudukan kewangan,Sudah  seterusnya meningkatkan kecekapan operasi TH. –MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: