Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto IQBAL BASRI, 14 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Walaupun Pembentangan Kertas Putih Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan aliran tunainya berada pada tahap kritikal.

Namun Ahli Parlimen Port Dickson (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Ketua Umum PH menyoal apakah ‘rasional’ antara kedudukan kewangan kritikal dengan pembelian 100 buah kereta oleh pengurusan lembaga itu baru-baru ini.

Mendakwa ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur ‘penuh sesak’ dengan kereta baharu, Anwar melahirkan rasa musykil bagaimana pembelian itu dilakukan ketika itu.

Bagaimanapun Anwar turut mendedahkan dirinya tidak pasti sekiranya pembelian 100 buah kenderaan baharu itu telah dilakukan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu namun katanya ‘perangai’ lama perlu diperbetulkan.

“Ini kerana dalam keadaan Felda sangat parah (bleeding), saya difahamkan ada seratus kenderaan baru dibeli Felda. Kalau pihak media lihat.

“Lihat ibu pejabat Felda, penuh sesak dengan kereta baru. Mungkin kereta dipesan sebelum ini, tapi ini perangai lama pengurusan yang perlu dibetulkan.

“Rakyat, peneroka susah tetapi masih beli kereta baru kononnya ada keperluan mendesak,” soalnya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Ketika pembentangan, Mohamed Azmin mendedahkan baki tunai Felda merosot daripada purata RM2.5 bilion dalam tempoh 2007 hingga 2011 kepada hanya RM400 juta pada 2017.

Mohamed Azmin yang membentangkan Kertas Putih menyatakan kedudukan baki tunai Felda terus menjunam sehingga RM35 juta pada 9 Mei 2018.

“Kekangan aliran tunai ini menyebabkan Felda tidak mampu menampung perbelanjaan operasi, kos penanaman semula dan bantuan serta pinjaman untuk peneroka.

“Isu defisit aliran tunai turut dibangkitkan dalam laporan audit Jabatan Audit Negara sejak 2016,” kata Mohamed Azmin.

Kertas Putih itu dibentangkan berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi itu yang melebihi RM8 bilion.

Dalam pada itu, jelas Anwar, kos operasi Felda meningkat daripada RM400,000 kepada RM1.4 bilion ketika Tan Sri Isa Samad menjadi Pengerusi dan ia kekal seperti itu sehingga kini.

Anwar juga mahu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkunjung ke Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) dan melihat sendiri ‘kemewahan’ dengan mata sendiri.

“Kita setuju perlu membayar hutang tetapi jika hutang itu juga melibatkan perbelanjaan tidak munasabah, tengok sahaja pejabat mereka itu jauh lebih besar, tiga empat kali ganda besar daripada pejabat Perdana Menteri.

“Jauh lebih hebat, wang itu sebenarnya milik peneroka dan harus dibayar kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette