Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Azmin Ali menunjukkan Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 10 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dicabar menyoal perjanjian pembelian 37 peratus kepentingan Eagle High Plantations TPK (EHP) di Dewan Rakyat dan bukannya sekadar di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Malah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Datuk Mohamed Azmin Ali mencabar Ahli Parlimen Pekan itu supaya tampil menyoal apa sahaja persoalan pada sesi Dewan Rakyat dan tidak menggunakan media sosial semata-mata.

“Najib itu Ahli Parlimen bukan Ahli Facebook atau Twitter. Gunalah saluran yang betul dan tanya persoalan-persoalan itu. Datang Dewan dan tanya soalan kamu.

“Saya cabar beliau untuk datang sebelah petang, soal saya dalam Dewan dan saya pastinya akan jawab semua persoalan yang dilontarkan itu satu persatu.

“Saya tidak layan soalan-soalan dalam laman sosial seperti ini. Gunakanlah platform Dewan Rakyat ini dengan betul. Kamu Ahli Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Kertas Putih Felda selepas sesi pertanyaan lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Najib membuat kenyataan dalam Facebook selepas laporan polis dibuat terhadapnya berhubung urusniaga EHP.

Najib yang  menafikan laporan polis itu berkata, perjanjian berkenaan mempunyai hak menjual saham pada harga yang ditentukan dalam tempoh yang ditetapkan (put option).

“Pada awal Februari, saya mahu kerajaan PH untuk mendedahkan ‘put option’ untuk perjanjian pembelian ini tetapi mereka tetap bisu.

“Pembelian itu dilengkapi dengan ‘put option’ yang membolehkan kita menjual semula kepentingan 37 peratus ekuiti itu pada harga beli asal bersama dengan caj faedah tahunan enam peratus ditanggung oleh penjual Indonesia itu.

“Dalam erti kata lain, kalau kita tak mahu teruskan pelaburan itu, kita boleh tuntut balik semua wang yang kita bayar bersama dengan faedah enam peratus setiap tahun,” jelas Najib.

Media juga melaporkan Felda membuat laporan polis mendakwa syarikat itu ditipu dalam pembelian 37 peratus kepentingan EHP pada harga AS$505 juta (RM2.3 bilion) oleh Najib yang merupakan menteri kewangan ketika itu.

Dalam laporan polisnya, Ketua Pengarah Felda, Othman Omar berkata, Najib mengarahkan agensi itu untuk membuat transaksi pada 2015 melalui syarikat tujuan khas (SPV) FIC Properties Sdn Bhd (FPSB), lapor The Edge Markets.

Dalam pada itu, Azmin turut mendedahkan akan ada lebih banyak laporan polis yang akan dibuat dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette