Menara Felda
Menara FELDA

KUALA LUMPUR – Jumlah liabiliti Kumpulan Felda telah melonjak dengan ketara sebanyak 1,100 peratus daripada RM1.2 bilion pada tahun 2007 kepada RM14.4 bilion pada tahun 2017.

Lonjakan itu akibat penambahan pinjaman yang dibuat oleh Felda untuk menampung kos dan pelaburan yang tidak strategik.

Kertas Putih Felda yang dibentang di Parlimen hari ini berkata, pada tahun 2017, pinjaman Kumpulan Felda mencecah RM12.1 bilion menyumbang 84 peratus daripada jumlah keseluruhan liabiliti manakala bakinya sebanyak 16 peratus terdiri daripada pemiutang dan liabiliti tanam semula.

Antara lain, pinjaman tersebut digunakan untuk membuat pelaburan, menyelesaikan tunggakan hutang anak syarikat Felda, pembiayaan program penanaman semula dan sosioekonomi peneroka serta keperluan kos operasi Felda.

Felda telah memperuntukkan RM3.6 bilion untuk program penanaman semula kebun peneroka dan ladangnya menggunakan sebahagian pinjaman kewangan daripada KWSP yang diterima mulai tahun 2009.

Pinjaman sosioekonomi kepada peneroka telah meningkat sebanyak 80 peratus antara tahun 2011 dan 2012 selepas FGV
Tawaran Awam Permulaan (IPO).

Jumlah pinjaman peneroka selepas pelarasan/ penjejasan mencecah RM2.3 bilion pada tahun 2017.

Peningkatan pinjaman oleh Kumpulan Felda dan kecekapan aset yang rendah telah mengakibatkan nisbah pinjaman meningkat kepada 1.2x pada tahun 2017 iaitu peningkatan sebanyak 114 kali ganda.

Sebagai contoh, pinjaman dari GovCo Holdings Berhad berjumlah RM2.3 bilion diguna pakai untuk membeli 37 peratus saham PT EHP (Eagle High Plantation) pada nilai yang melebihi harga pasaran.

Pada tahun sama pembelian, nilai saham PT EHP tersebut merudum sebanyak RM1.6 bilion, termasuk kerugian pertukaran mata wang asing.

Analisis ke atas penyata kewangan Felda juga mendapati pelaburan di dalam EHP telah diklasifikasi sebagai ‘Aset Kewangan Pada Nilai Saksama Melalui Untung atau Rugi (FVTPL)’ walaupun mengikut piawaian perakaunan, ia sepatutnya diklasifikasi sebagai ‘Pelaburan dalam Syarikat Bersekutu’.

Sekiranya pelaburan ini diklasifikasi secara tepat, kemerosotan nilai saksama PT EHP akan dilaporkan sebagai penjejasan pelaburan sebanyak RM1.6 bilion dan nilai saksama opsyen penjualan perlu diambil kira. – MalaysiaGazette