SHAH ALAM – Fokus inkues siasatan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim sepatutnya tertumpu kepada insiden pada malam 27 November yang mengakibatkan anggota bomba itu mengalami kecederaan parah sehingga akhirnya membawa kepada kematian.

Pandangan tersebut dilontarkan oleh bekas pakar forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Shahrom Abd Hamid yang sekaligus merumuskan bahawa soalan-soalan terperinci berhubung kepatahan tulang rusuk mangsa sebagai tidak relevan.

Saksi ke-29 itu berkata demikian apabila ditanya berkali-kali oleh pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah tentang kepatahan tulang rusuk bahagian kanan (depan dan belakang) allahyarham.

Dr Shahrom semalam membuat rumusan bahawa kepatahan tulang rusuk Adib di depan dan belakang akibat dua atau lebih individu menerajang  daun pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Adib juga menurut beliau, kemungkinan ditarik keluar dari EMRS berdasarkan kecederaan pada bahu seperti mana maklumat yang diperolehinya selain lakonan semula yang ditunjukkan kepadanya di Balai Bomba Subang Jaya.

Beliau juga menolak kemungkinan Adib cedera akibat dhimpit oleh EMRS dan trak bomba, kerana menurutnya jika berlaku keadaan seumpama itu anggota bomba berkenaan menemui ajal di tempat kejadian.

Sementara itu, dalam keterangan kepada Mahkamah Koroner hari ini, Dr Shahrom mencadangkan supaya punca kecederaan Adib dianalisis berpandukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) oleh Subang Jaya Medical Centre (SJMC) sejurus selepas anggota bomba itu dimasukkan ke hospital.

Katanya, manakala CT Scan oleh Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur pula dilakukan selepas Adib menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), selain terdapat pergerakan dan wujudnya interference.

Beliau juga bersetuju adalah penting pihak yang terlibat dengan inkues pergi ke tempat kejadian untuk mendapatkan gambaran lebih jelas tentang kejadian yang menggemparkan negara itu.

“Bagaimanapun saya mengambil keputusan tidak pergi ke tempat kejadian sebab semua maklumat yang saya perlukan sudah diberi dalam dokumen dan dalam menerusi lakonan semula pihak bomba,” katanya. -MalaysiaGazette