Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat lebih gemar mengunakan media sosial sebagai platform melakukan provokasi berbanding berdepan secara bersemuka.

Itu reaaaksi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mencabar bekas Perdana Menteri untuk tampil mengemukakan semua persoalan berhubung Lembaga Tanah Persekutuan (Felda).

“Yang Berhormat Pekan tidak ada kejantanan untuk berdepan Gombak di Parlimen,” katanya di Dewan Rakyat sewaktu menggulung Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Felda.

Bagaimanapun, Najib ketika itu berada di Mahkamah Persekutuan bagi tiga permohonan interlokutori berhubung kes pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Kata Najib dalam laman Facebook, beliau tidak mempunyai klon Siam apabila menjawab persoalan ‘kehilangannya’ di Parlimen hari ini.

“Kerajaan PH yang dakwa saya macam-macam, berpuluh kali sehingga saya perlu berada di mahkamah hampir setiap hari.

“Minggu ini saya hampir tiap-tiap hari di mahkamah termasuk hari ini di mana mahkamah sekali lagi tolak permintaan saya untuk mendapat dokumen-dokumen penting untuk pembelaan saya.

“Lepas tu, PH tanya pulak mengapa saya tak ada di Dewan Rakyat!

“Peliknya, si Azmin ni. Saya tak ada klon Siam lah,” kata Najib.

Sementara itu, Mohamed Azmin juga telah mengemukakan usul kepada speaker Dewan Rakyat supaya mengambil tindakan terhadap Najib kerana telah mendedahkan dokumen laporan kertas putih Felda semalam.

“Awal pagi tadi saya kemukakan satu usul supaya tindakan keras diambil terhadap Ahli Parlimen Pekan. Ini satu kesalahan besar yang mungkin untuk Pekan ianya kecil,” katanya.

Mohamed Azmin menjawab soalan Ahli Parlimen Lembah Pantai (PH), Fahmi Fadzil sama ada dia sedar Najib menyiarkan dokumen itu semalam.

Malam tadi, Najib dalam laman Facebooknya memuat naik sebahagian laporan kertas putih Felda yang menyebut wujudnya ‘Put Option’, iaitu hak menjual saham pada harga yang ditentukan dalam tempoh yang ditetapkan.

Najib menjelaskan, tuduhan di media dan laporan polis ialah beliau didakwa telah menipu Felda untuk membeli syarikat Indonesia Eagle High Plantations dan menyebabkan kerugian berbilion.

Bagaimanapun apa yang ditulis di dalam kertas putih Felda ialah pulangan minima 6 peratus setiap tahun daripada pembelian berkenaan tidak cukup tinggi. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/10/azmin-saya-tiada-klon-siam-lah-najib/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/10/felda-suruh-najib-datang-dewan-rakyat-dan-soal-baru-saya-respon-azmin/