Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Nama pengganti Menteri Besar Johor akan dipersembahkan kepada Sultan Johor untuk perkenan baginda sebaik sahaja peletakan jawatan Datuk Osman Sapian diperkenankan oleh Tuanku.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, surat peletakan jawatan Osman telah disembahkan kepada Sultan Johor pada 8 April lalu.

Menurutnya, Bersatu menghormati keputusan Osman.

“Saya bagi pihak parti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau di atas sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada negeri dan rakyat Johor sepanjang berkhidmat sebagai menteri besar.

“Saya berharap proses penggantian Menteri Besar Johor akan berlangsung dengan teratur dan sempurna agar pentadbiran kerajaan negeri itu berjalan dengan lancar. Adalah penting usaha memacu kemajuan negeri Johor tidak terganggu dengan peralihan kepimpinan ini,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin berkatam Pakatan Harapan komited untuk memastikan negeri Johor terus maju, makmur dan sentosa.

Sehubungan itu, beliau meminta agar rakyat Johor dan ahli-ahli Bersatu agar bertenang dan terus merapatkan saf serta patuh dengan keputusan kepimpinan parti. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan