Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dibawa kerajaan semalam tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, RUU yang tidak mendapat majoriti dua pertiga untuk diluluskan Dewan Rakyat itu tidak menepati hasrat rakyat Sabah dan Sarawak yang mahukan perubahan lebih substansif.

“Pindaan yang dibawa semalam hanya berbentuk kosmetik, bagaimanapun sekiranya kerajaan serius dan ikhlas untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat MA63, kerajaan perlu membenarkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk meneliti pindaan ini agar undang-undang lain juga boleh dibawa sekali termasuk Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Pengundian yang dibuat selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggulung perbahasan mengenai pindaan itu menyaksikan 138 daripada 221 wakil rakyat bersetuju RUU itu diluluskan manakala 59 Ahli Parlimen tidak mengundi.

Ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU itu, Dr. Mahathir berkata, pindaan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan bertujuan mengembalikan semula status asal Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia 1963.

Berikutan kegagalan meminda RUU itu, Azalina mengingatkan kerajaan untuk lebih berhati-hati dalam membawa sebarang pindaan undang-undang.

Menurut Azalina, peristiwa yang berlaku di Dewan Rakyat semalam berpunca daripada sikap tergesa-gesa kerajaan dalam membuat pindaan tanpa melalui konsultasi yang cukup daripada pihak-pihak bertanggungjawab.

Tambah beliau, pindaan itu masih boleh diteruskan sekiranya menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Undang-Undang dan Peguam Negara memberi nasihat yang sepatutnya kepada Perdana Menteri.

“Mereka seharusnya faham akan prosuder Dewan Rakyat dan menasihati Perdana Menteri untuk memberi ruang kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk meneliti pindaan ini, malah Kerajaan juga boleh menunggu sehingga Jawatankuasa Khas Kabinet yang menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selesai membuat rundingan dan perbincangan,” ujarnya.

Beliaun berharap kerajaan Pakatan Harapan mengambil iktibar apa yang berlaku dan tidak menambah rekod kegagalan mereka kerana pindaan undang-undang memerlukan proses yang inklusif dan komprehensif. – MalaysiaGazette