Datin Seri Rosmah Mansor
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berjalan keluar selepas selesai hadir untuk didakwa berkaitan pertuduhan berhubung projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini melahirkan rasa lega selepas perkara sebenar di sebalik fitnah pembelian permata merah jambu yang terpalit dengan dirinya terdedah akhirnya.

Rosmah menegaskan, walaupun banyak pihak sudah mengemukakan permohonan maaf terhadap beliau dan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak, namun perkara terpenting ialah pihak yang membuat fitnah itu memohon maaf kepada rakyat.

“Malangnya orang nak percaya fitnah, tapi Alhamdulillah benda yang betulnya sudah terdedah.

“Ada orang datang minta maaf, saya maafkan tapi yang mustahak minta maaf kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

MGF10042019_ DS ROSMAH DIDAKWA MAHKAMAH12
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berjalan keluar selepas selesai hadir untuk didakwa berkaitan pertuduhan berhubung projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2019

Isnin lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah mengesahkan tiada sebarang pembelian berlaku di antara isteri seorang VVIP dengan ejen jualan yang membawa masuk berlian merah jambu dan barangan kemas lain ke Malaysia.

Amiruddin mengesahkan ejen jualan berkenaan telah mengisytiharkan barangan berharga berkenaan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia ketika membawa masuk dan ketika meninggalkan negara ini.

Rosmah juga berkata, beliau akan terus bersabar dengan banyak lagi fitnah yang terpalit terhadap diri dan suaminya demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Mereka (rakyat) percayakan fitnah-fitnah yang disebarkan kepada saya, ini baru salah satu saja, saya sabar, saya redha, saya faham suami saya merupakan pemimpin negara.

“Kalau apa yang dia alami, saya pun terpaksa mengalami kerana saya isteri dia, jadi saya sabar demi untuk kesejahteraan rakyat, negara saya sabar dan akan lalui apa saja dugaan yang Allah bagi kepada saya,” katanya.

Rosmah berkata, beliau tidak dapat mengelak daripada perasaan kesal apabila rakyat sebelum ini memilih untuk mempercayai pembohongan mengenai pembelian permata merah jambu sebelum ini.

“Malangnya rakyat menderita kerana ini (percaya pembohongan), anda semua memilih untuk hidup dalam pembohongan ini.

“Hidup dalam kebohongan lebih menarik, lebih selamat. Malah kita ingin mengatakan kebenaran, hari itu, orang yang mengatakan kebenaran semua pembohongan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette