Foto hiasan - Seorang pekerja melakukan kerja naik taraf di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 16 APRIL 2017.

KUANTAN – Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) meminta kerajaan agar tidak membuka tender-tender kerja kelas G1 kepada kontraktor bukan bumiputera untuk mengelakkan lebih ramai kontraktor bumiputera gulung tikar berikutan masalah kekurangan projek.

Presidennya Datuk Mohamed Fadzlill berkata dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi negara pada masa kini, ramai dalam kalangan anggotanya kini terpaksa bergelut untuk mendapatkan kontrak daripada projek-projek yang semakin kurang ditawarkan oleh kerajaan.

“Pada masa kini lebih 60 peratus daripada 40,000 kontraktor bumiputera kelas G1 hingga G7 didapati tidak aktif sebab masalah kekurangan projek ini.

“Paling terjejas ialah lebih 24,000 kontraktor bumiputera kelas G1 (kelas F) kerana kita dapati ada antara projek yang sebelum ini dikhaskan untuk kontraktor bumiputera turut dibuka kepada kontraktor G1 bukan bumiputera.

“Jadi kita mengharapkan kerajaan agar dapat mempertimbangkan hal ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama PKMM Pahang di sini yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang Datuk Nazri Ngah.

Sementara itu, Nazri menyarankan kontraktor bumiputera di negeri ini yang menghadapi masalah kekurangan projek supaya beralih kepada bidang pertanian yang juga mampu memberikan pulangan yang tinggi.

“Kontraktor pada masa kini kena buat pelbagai kegiatan ekonomi…saya mengharap mereka pergi ke bidang pertanian dan dalam hal ini kerajaan boleh bantu.

“Di setiap daerah kita mempunyai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mempunyai kuasa untuk menyelesaikan masalah berkenaan tanah dan boleh lulus kegunaan sehingga 18 hektar untuk Permohonan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan satu hektar untuk tanah pemilikan kekal,” katanya.

Selain itu, dalam usaha membantu mengelakkan lebih ramai kontraktor bumiputera daripada gulung tikar akibat masalah kekurangan projek, beliau turut meminta tiga buah syarikat konsensi di negeri ini iaitu Road Care, Muhibbah Bina Sdn Bhd, YP Maintenance Sdn Bhd supaya memperuntukkan 30 peratus daripada projek yang diperoleh kepada kontraktor tempatan.

“Kita sarankan jika mereka mendapat projek di daerah Jerantut contohnya, agihkan kepada kontraktor tempatan di Jerantut, tiada lagi ‘pemain import’. Langkah ini bagi memastikan projek juga dapat dilaksanakan dengan cepat dan mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.

— BERNAMA