Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin.

SERDANG – Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad menolak cadangan UMNO Johor supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang baharu, dengan mengatakan bahawa Menteri Dalam Negeri itu mempunyai tugas lain yang perlu dilaksanakan.

“Parti yang menang (Pakatan Harapan) menamakan Menteri Besar bukan yang kalah…yang kalah duduk diam,” katanya ketika di tanya sama ada beliau akan menimbang cadangan UMNO Johor supaya Muhyidddin, yang berpengalaman sebagai Menteri Besar dan Timbalan Perdana Menteri memimpin kerajaan negeri itu.

Ditanya mengenai kenyataan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar semalam yang meminta pihak tertentu supaya hentikan campur tangan mengenai hal ehwal negeri itu, Dr Mahathir berkata Johor merupakan sebahagian daripada Malaysia.

“Kecualilah kalau ia negara asing. Saya tak campur urusan dalaman negara asing, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Malaysia Autoshow 2019 di Taman Ekspo Agro Malaysia (Maeps) Serdang hari ini.

Pada Selasa, Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor berkuat kuasa Isnin (8 April).

Osman, 67, Menteri Besar Johor ke-16 dipercayai Menteri Besar yang paling singkat perkhidmatannya, kurang daripada 11 bulan selepas mengangkat sumpahnya pada 12 Mei tahun lepas berikutan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Mengenai persaraan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum esok, Dr Mahathir berkata kerajaan sudah mempunyai calon untuk jawatan itu.

Ya, kita akan beritahu nanti,” katanya.

Malanjum, yang dilantik sebagai pegawai kehakiman di negara itu pada 11 Julai tahun lepas, akan mencapai umur persaraan mandatori perlembagaan 66 tahun dan menghampiri tempoh enam bulan lanjutan perkhidmatannya.

— BERNAMA