Noraini Ahmad
Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Parit Sulong (BN), Datuk Dr Noraini Ahmad bakal dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu di Dewan Rakyat, hari ini.

Noraini akan menggantikan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiande yang telah meninggalkan BN dan kini menyertai parti kerajaan iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengusulkan cadangan pemilihan itu kepada Dewan Rakyat hari ini.

Usul itu terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dan Usul-Usul hari ini.

“Bahawa Yang Berhormat Datuk Dr Noraini binti Ahmad, Ahli Parlimen Parit Sulong dipilih menggantikan Yang Berhormat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Beluran sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara bagi Parlimen Ke-14,” kata Perdana Menteri.

Walaupun Tun Mahathir telah memberikan ‘lampu hijau’ supaya Ronald menyambung tugasnya sebagai Pengerusi PAC selepas menyertai Bersatu, namun ada dalam kalangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) melahirkan rasa tidak puas hati mengenai perkara tersebut.

Ini kerana jelas dalam manifesto PH menetapkan Pengerusi PAC hanya boleh dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang bagi mewujudkan semak dan imbang terhadap eksekutif.

Antara yang lantang menyuarakan perkara itu ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah yang bertindak meletak jawatan baru-baru ini kerana Ronald masih memegang jawatan berkenaan.

Namun Nurul Izzah kembali menganggotai PAC selepas pengumuman Noraini bakal dilantik sebagai Pengerusi menggantikan Ronald minggu lepas. – MalaysiaGazette

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/16/tun-m-restu-ronald-kiandee-kekal-sebagai-pengerusi-pac/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/22/nurul-izzah-lepaskan-jawatan-pac/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/04/nurul-izzah-sertai-semula-pac/