Moon Jae-in dan Donald Trump. foto Agensi

WASHINGTON – Presiden Donald Trump yang bertemu dengan Presiden Seoul, Moon Jae-in berkata, beliau bersedia untuk bertemu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un sekali lagi.

Dalam pertemuan itu, Trump juga menyatakan sekatan yang dikenakan ke atas Pyongyang dikekalkan.

Kedua-dua pemimpin itu bertemu di Pejabat Oval bagi membincangkan kemungkinan mengadakan sidang kemuncak di antara Moon dan Jong-un bagi meningkatkan dialog antara Amerika Syarikat dan Pyongyang berhubung penghapusan nuklear.

Korea Utara telah menggantung ujian-ujian nuklear dan pelancaran peluru berpandu, telah memberi tekanan supaya sekatan ke atas negara itu dikurangkan.

Trump dan Jong-un telah bertemu dua kali – sekali di Singapura pada Jun tahun lalu dan di Hanoi pada Februari, masih gagal untuk menarik sekatan walaupun Pyongyang telah menggantung ujian nuklear dan peluru berpandu.

“Ia boleh berlaku. Sidang kemuncak ketiga boleh berlaku. Ia secara berperingkat-peringkat. Bukan proses yang cepat. Saya tidak nyata begitu. Ia berperingkat-peringkat,” kata Trump.

Ketika ditanya oleh wartawan apakah Amerika Syarikat bersedia untuk meredakan beberapa sekatan terhadap Korea Utara, Trump berkata, beliau dan Moon sedang membincangkan “perkara-perkara kemanusiaan tertentu” dan kemungkinan Korea Selatan membantu Korea Utara dengan makanan.

Berhubung sekatan, Trump berkata, “Kami sentiasa dapat meningkatkannya, tetapi saya tidak mahu melakukannya pada masa ini.”

Moon pula berkata, beliau tidak nampak kegagalan sidang kemuncak di Hanoi sebagai kegagalan tetapi sebahagian daripada proses yang panjang.

Beliau turut bersetuju dengan Trump untuk mencapai “matlamat utama” bagi penghapusan nuklear oleh Korea Utara.

“Tugas penting yang kita hadapi sekarang adalah untuk mengekalkan momentum dialog dan juga menyatakan pandangan positif mengenai sidang kemuncak ketiga Amerika Syarikat-Korea Utara kepada komuniti antarabangsa dan ini akan diadakan dalam masa terdekat,” kata Moon. – MalaysiaGazette