Asap berkepul-kepul dari Kompleks Bersepadu Petrokimia milik Petronas yang terbakar kira-kira 1.20 pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Azalina Otman Said berharap kebakaran di Kompleks Bersepadu Petrokimia di Pengerang yang berlaku awal pagi tadi tidak berulang lagi.

Ini kerana, katanya, projek mega minyak dan gas seperti ini sememangnya berdepan dengan pelbagai risiko kemalangan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang mengucapkan terima kasih kepada Petronas yang bertindak pantas dalam pengurusan bencana kemalangan seperti itu.

Artikel berkaitan:Rapid Pengerang terbakar, dua cedera

Tambahnya, Petronas telah memaklumkan keadaan sekarang sudah terkawal dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kerana siasatan masih dijalankan.

Dalam masa sama, Azalina meminta Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor perlu menjalankan tanggungjawab bersama dalam hal ehwal impak alam sekitar serta memastikan keselamatan bukan sahaja terhadap pekerja di Kompleks Bersepadu Pengerang malah termasuk juga para penduduk di sekitarnya. – MalaysiaGazette