Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Kelantan terus ditimpa malang apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pemotongan tiga mata untuk pasukan tersebut dalam saingan Liga Perdana 2019.

FAM dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu adalah hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA bagi menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas Pengarah Teknikal KAFA, Alfredo Carlos Gonzalez.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya telah memajukan surat arahan daripada FIFA itu kepada Malaysian Football League (MFL) untuk badan pengendali Liga Malaysia itu mengeluarkan surat rasmi pemotongan tiga mata kepada Kelantan.

(MFL) untuk badan pengendali Liga Malaysia itu mengeluarkan surat rasmi pemotongan tiga mata kepada Kelantan.

“Dengan apa yang berlaku ini, FAM ingin mengingatkan serta menasihati ahli-ahli gabungan yang lain supaya tidak mengambil mudah arahan berkaitan hukuman yang telah dijatuhkan oleh FIFA atau AFC kerana kesan dan akibatnya nanti akan terpaksa ditanggung oleh pasukan masing-masing.

“Biarpun KAFA telah dikenakan pemotongan tiga mata, mereka bagaimanapun perlu melunaskan bayaran seperti dinyatakan itu bagi mengelak dikenakan hukuman atau tindakan lanjut lain yang lebih berat daripada FIFA selepas ini,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette