KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan mengalu-alukan sebarang projek infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat terutama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Itu kata Timbalan Menteri Besarnya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Mohd Amar berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong projek itu walaupun Kerajaan Persekutuan kini dipimpin oleh Pakatan Harapan.
“Macam dulu pun (ketika kerajaan persekutuan di bawah Barisan Nasional) kita menyokong penuh ECRL ini walaupun ada pandangan-pandangan negatif tapi kita rasa kebaikan lebih banyak.
“Jadi kalau kerajaan sekarang ini bersetuju untuk meneruskan (projek ECRL) itu satu langkah yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).
Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.
Dalam pada itu, Mohd Amar turut melahirkan harapan agar lima projek mega yang dikemukakan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam lawatannya ke Kelantan bulan lepas tetap diteruskan.
“Insya-Allah kalau berjalan lima projek ini (selain projek ECRL) akan ada banyak perubahan yang akan berlaku terhadap sosioekonomi Kelantan,” katanya.
Lima projek yang diumumkan Mohamed Azmin ialah Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3, pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baharu Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu. – MalaysiaGazette