Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan Rang Undang-undang Levi Pelepasan 2019 yang diluluskan di Dewan Rakyat kelmarin.

Naib Presiden Serantau IATA bagi Asia Pasifik, Conrad Clifford, berkata levi pelepasan bagi penumpang pesawat dilihat memberi lebih banyak impak negatif kepada ekonomi tempatan kerana boleh mengurangkan permintaan terhadap perjalanan.

“Pengenaan levi ini akan merendahkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan di rantau ini sehingga menjejaskan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pelaksanaan levi pelepasan tersebut adalah bertentangan dasar sedia ada pencukaian yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Sebagai anggota Majlis ICAO, Malaysia perlu mempamerkan kepimpinannya dalam mematuhi dasar ICAO,” katanya.

Pelepasan levi itu dilapor berkuat kuasa 1 Jun dengan RM20 dikenakan bagi setiap pelanggan yang ingin berlepas ke negara-negara ASEAN dan RM40 bagi negara-negara lain.

Mengikut analisis IATA, pengenaan levi itu akan mengurangkan jumlah pelanggan yang berlepas dari Malaysia menggunakan pengangkutan udara kepada sehingga 835,000 setahun, mengurangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor penerbangan sehingga AS$419 juta dan pengurangan sehingga 5,300 pekerjaan.

Pada 2017, sektor penerbangan Malaysia menggajikan 450,000 pekerja dengan menyumbang AS$10.1 bilion KDNK negara.

“Sektor pelancongan yang lebih luas menyumbang 13.4 peratus kepada KDNK Malaysia yang disokong pengangkutan udara,” kata Clifford.

IATA adalah persatuan perdagangan global bagi sistem penerbangan yang mewakili lebih 290 anggota sistem penerbangan termasuk Malaysia Airlines, Malindo Air, Singapore Airlines, Silk Air dan All Nippon Airways, yang menyumbang 82 peratus kepada jumlah trafik udara global. – BERNAMA