TERKINI : Najib Bocor Dokumen Embargo! – Liew Vui Keong

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pekan (BN), Datuk Seri Najib Razak akan dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kebocoran dokumen kertas putih Felda yang berstatus embargo.

Walaupun pada asalnya, usul terdahulu ada menyebut terus mengenakan hukuman gantung tiga bulan terhadap bekas Perdana Menteri itu namun ianya ‘di tukar’ hari ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, Najib akan diberi peluang membela diri dengan merujuk kes tersebut ke jawatankuasa tersebut sebelum mendapat kelulusan Dewan Rakyat.

“Dengan jawatankuasa ini, kita memberi peluang kepada Yang Berhormat Pekan (Najib) untuk menjelaskan kedudukan yang sebenarnya.

“Jadi, dengan itu saya memohon bahawa perkara ini disokong dengan penuh,” katanya.

Usul untuk merujuk Najib kepada jawatankuasa itu kemudiannya diputuskan melalui undi belah bahagian selepas perbahasan yang hangat.