Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun bersalaman dengan salah seorang pengundi sewaktu meluangkan masa melawat pusat mengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 27 Rantau di Sekolah Kebangsaan Nyatoh, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 13 APRIL 2019.

SEREMBAN – Suruhanjaya Pilihan Raya kesal dengan sikap calon bertanding yang dikesan masih berkempen semasa proses pengundian sudah berlangsung.

Sehubungan itu, SPR meminta perbuatan tidak beretika tersebut dihentikan.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata, mana-mana yang mendapati calon masih merayu undi atau masih berkempen supaya membuat laporan polis untuk tindakan segera.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai calon Pakatan Harapan Dr. S. Streram yang dikesan merayu undi semasa bercakap kepada pemberita.

Pakar bius itu dikesan berbuat begitu ketika bercakap kepda pemberita semasa waktu mengundi pukul 8.35 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Rantau, Bandar Ekar.

Streram ketika ditanya pemberita perasaannya ketika mengundi di PRK Rantau berkata, beliau dalam keadaan baik dan mengharapkan pengundi memilihkan untuk menang dalam PRK.

“Dan semua yang datang mengundi di sini, saya merayu kepada semua untuk undi Pakatan Harapan,” katanya.

Azhar berkata, perkara sedemikian perlu dibuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Tolonglah pergi buat laoporan, saya tak tahu. Kalau betul betul dia buat, dia berkempen, memang ia merupakan satu kesalahan kerana pada hari undi dari 12 tengan malam semalam sehingga 5.30 petang hari tidak boleh berkempen dan minta orang mengundi dan sebagainya.

“Kalau ada bukti video semua saya pohon tolong buat laporan. (Dia sebut saya merayu supaya undi untuk Pakatan Harapan)..itu berkempenlah kira.. kalau betul-betul dia buatlah,” katanya.

Ditanya tindakan menunjukkan tanda isyarat empat jari sebagai undi calon Pakatan Harapan, beliau menjawab :” saya pun tak tahu nak cakap apa tapi kalau kita cuba nak buat isu, sila buat laporan. Kalau dibawa ke mahkamah, mahkamah akan buat keputusan maka kita ada garis panduan untuk masa akan datang,”.

Beliau menyeru calon calon supaya tidak melakukan perkara tersebut.

“Saya nak menyeru calon-calon parti yang terlibta, perkara yang terang-benderang seperti ini tolong berhentilah kerana imej tak baik dan kalau mereka menang pun nanti, perkara ini boleh dibangkitkan dalam petisyen dan boleh dijadikan isu,” tegasnya.- MalaysiaGazette