Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhadapan pertuduhan berhubung projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Rosmah Mansor menafikan dakwaan wujud transaksi pembelian berlian merah jambu atau ‘pink diamond’ bernilai hampir RM100 juta (USD 23 juta) dalam siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dakwaan tersebut yang mengaitkan Rosmah itu telah dikeluarkan dalam satu kenyataan awal pagi tadi oleh Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman, Datuk Khalil Azlan Chik.

Penafian pantas yang dibuat oleh Rosmah melalui peguamnya Iskandar Shah Ibrahim kepada Malaysiakini sebentar tadi sebagai maklum balas terhadap dakwaan Bukit Aman tentang jejak aliran wang menggunakan dana 1MDB.

“Anak guam saya Rosmah Mansor menegaskan beliau pada bila-bila masa tidak pernah membeli berlian merah jambu itu,” kata Iskandar melalui teks mesej ringkas petang tadi.

Pagi tadi, Khalil Azlan berkata, walaupun berlian tersebut tidak ditemui ketika serbuan, namun terdapat bukti jejak kewangan pembeliannya.

“Kita merujuk kepada penafian Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibuat baru-baru ini.

“Hasil siasatan memang menunjukkan transaksi pembelian berjumlah USD 23 juta dibuat menggunakan wang 1MDB daripada seorang peniaga barang kemas di New York,” ujarnya dalam kenyataan.

Rosmah sebelum ini dilaporkan meminta pihak berkenaan meminta maaf daripada rakyat kerana telah mengakibatkan mereka percaya kepada fitnah pembelian cincin berlian merah jambu tersebut.

Menurutnya, isu berhubung pembelian berlian merah jambu itu sengaja digunakan pihak tertentu sebagai modal kempen pilihan raya mereka.

Isnin lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah mengakui cincin merah jambu yang sebelum ini didakwa berharga kira-kira RM24 juta tidak dibeli oleh seorang isteri VVIP dan telah dibawa keluar dari negara ini oleh ejen jualannya.

Beliau berkata, ejen jualan berlian merah jambu dan barangan kemas itu telah mengisytiharkannya kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Katanya, syarikat itu juga membuat perisytiharan barang berkenaan dengan jabatan yang sama ketika meninggalkan negara ini.

Hari yang sama, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua  meminta Najib agar tidak cuba mengelirukan orang ramai bahawa tidak wujudnya sebarang pembelian belian merah jambu menggunakan dana 1MDB.

Menurutnya, Najib cuba mengelirukan umum dengan dua ‘cerita’ berbeza berhubung belian merah jambu itu bagi mendapatkan simpati kononnya telah menjadi mangsa dianiaya.

Tony adalah individu yang didakwa melakukan fitnah berhubung barang kemas berkenaan. –MalaysiaGazette

Wujud transaksi pembelian pink diamond guna wang 1MDB – Polis

Najib ceritakanlah perkara sebenar tentang berlian merah jambu itu