Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, berkenan menerima peletakan jawatan Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor di Istana Pasir Pelangi, di sini, pada 10 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani berkata, baginda juga berkenaan melantik Menteri Besar yang baharu bagi menggantikan Osman.

Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar baharu itu akan diadakan di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di sini, pada 9.30 pagi esok, kata Azmi menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Peletakan jawatan Osman berkuatkuasa Isnin lepas (8 April) diumumkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad minggu lalu.

Osman, 67, Menteri Besar Johor ke-16, dipercayai menteri besar paling singkat tempoh perkhidmatannya, kurang daripada 11 bulan selepas mengangkat sumpah jawatan pada 12 Mei tahun lalu berikutan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14. – MalaysiaGazette