Zukri
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat.

KUALA LUMPUR – Jumlah deposit yang di terima oleh Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunjukkan angka yang positif kerana keyakinan pendeposit tetap kekal utuh walaupun institusi itu mengumumkan hibah yang rendah bagi tahun 2018.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, prospek TH yang cerah, tadbir urus lebih baik, tiada lagi aset kurang berdaya saing, serta jaminan kerajaan merupakan antara faktor-faktor yang menyokong keyakinan pendeposit untuk terus kekal melabur dalam TH.

Selain itu, katanya, kawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang bermula pada tahun ini bagi menambah baik tadbir urus organisasi itu juga di lihat berjaya mendorong pendeposit untuk terus kekal bersama TH di samping dapat menarik minat pendeposit baru.

“Kita mahu meningkatkan tadbir urus dan menerapkan amalan terbaik yang dicadangkan oleh Bank Negara terutamanya dalam bahagian pengurusan risiko dan tadbir urus.

“Semuanya dalam keadaan stabil dan tiada pengeluaran luar biasa. Situasi yang buruk telah berakhir,” katanya kepada Bernama semasa lawatan beliau ke ibu pejabat pertubuhan berita nasional itu, baru-baru ini.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, TH mencatatkan jurang defisit (jumlah tanggungan melebihi jumlah aset) yang tinggi sebanyak RM10.9 bilion, meningkat dari RM4.1 bilion yang direkodkan pada 31 Disember 2017.

Dalam usaha mengembalikan kedudukan kewangan yang lebih seimbang, TH telah menjalankan satu program pemulihan dan penyusunan semula aset tidak berdaya saing (ekuiti dan hartanah) yang mempunyai jumlah nilai semasa RM9.7 bilion.

Aset-aset tersebut telah dipindahkan ke syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd, pada harga RM19.9 billion dalam bentuk dua sukuk yang masing-masing bernilai RM10 bilion dan RM9.6 bilion dengan pulangan sebanyak 4.05 peratus dan 4.1 peratus (RM800 juta setahun)

Hasilnya, TH berjaya memperoleh lebihan aset sebanyak RM1 bilion selepas mencatatkan jumlah aset RM76.5 billion berbanding jumlah tanggungan RM75.5 bilion.

Ini sekali gus membolehkan TH memberi agihan hibah sebanyak 1.25 peratus yang melibatkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendepositnya bagi tahun kewangan 2018.

Zukri berkata, baki sebanyak RM87 juta telah dimasukkan ke dalam satu akaun rizab yang baru diwujudkan, Hibah Equalisation Reserve, sebagai langkah berhati-hati TH dalam menghadapi situasi kecemasan pada masa hadapan.

“Jika kemudian nanti kami kurang keuntungan, (kami boleh menggunakan) akaun ini (kerana ia) boleh diagihkan. Kami akan mengekalkannya dalam bentuk cair.

“Tiada amaun tetap buat masa ini tetapi kami akan membentuk dasar untuknya, di mana kami menyasarkan 2-3 peratus diperuntukkan….biarlah lembaga yang membuat keputusan kemudian nanti,” jelasnya.

Zukri memberi jaminan bahawa tiada pengumuman mengejut akan dilakukan selepas ini kerana semua peruntukan rosot nilai sebanyak RM 1.5 bilion terhadap pelaburan telah dibuat tahun lepas.

Katanya, laporan kewangan berkala setiap suku tahun akan dibuat bagi memastikan pendeposit dapat mengetahui prestasi kewangan dan operasi TH dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

“Lembaran imbangan yang TH ada sekarang ini terdiri daripada aset yang sangat baik. Masa depan Tabung Haji sudah cerah. (Apa yang kami perlu lakukan adalah) untuk tidak membuat kesilapan sekali lagi.

“Seharusnya kami berkedudukan lebih baik untuk membayar hibah yang kompetitif bagi 2019 dan tahun-tahun seterusnya. Saya optimis ia akan lebih daripada 1.25 peratus,” katanya. – Bernama