Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian sekumpulan lelaki yang memaksa dua orang anggota polis membuka boot kereta peronda MPV Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menurusi rakaman video yang tular di media sosial, lelaki terbabit mendakwa MPV polis itu membawa lebihan kertas undi semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, negeri sembilan semalam

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menerusi satu kenyataan berkata, laporan itu akan membolehkan polis menjalankan siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana sengaja menghalang seorang penjawat awam menjalankan kerja-kerjanya dan seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana menghalang seseorang dengan salah.

Seksyen 186 Kanun Keseksaan memperuntukan penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Seksyen 341 Kanun Keseksaan memperuntukan penjara sehingga sebulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berikutan itu, Abdul Hamid menasihatkan orang ramai tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dengan menghalang mana-mana pejawat awam daripada menjalankan tugas rasmi mereka.

“Sila laporkan kepada pihak polis jika terdapat sebarang maklumat yang menjurus kepada pelanggaran undang-undang dan jangan sesekali mengambil tindakan di tangan sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette