Datuk Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Kemenangan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau membuktikan pengaruh politik Islam yang semakin terserlah sejak kerjasama parti itu bekerjasama dengan Pas.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dalam masa yang sama menyifatkan jalinan di antara dua parti politik itu pada akhirnya memberikan kesan positif sehingga ke pelbagai peringkat termasuk penyokong kedua-dua parti.

“Pengaruh politik Islam menjadi semakin terserlah hasil dari kerjasama yang erat antara BN dan Pas.

“Kerjasama BN dan Pas yang semakin hari semakin kuat ini, jelas memberi isyarat kepada penyokong kedua-dua parti untuk terus komited menjayakan sinergi politik ini,” katanya menerusi kenyataan media di Facebooknya.

Beliau turut menegaskan faktor calon memainkan peranan penting kepada kemenangan pada pilihan raya apatah lagi demi meraih pengundi pelbagai kaum.

“Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Rantau ini juga membuktikan, faktor calon yang diterima semua segmen pengundi termasuk India dan Cina menjadi penyumbang kemenangan kepada parti,” ujarnya.

Noraini turut merakamkan tahniah kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana berjaya mempertahankan DUN Rantau, sekaligus mencatat kemenangan hatrik buat BN. – MalaysiaGazette