Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau malam tadi di luar jangkaan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kemenangan itu adalah hasil muafakat UMNO, Pas yang memberi isyarat kepada umum bahawa perpaduan ummah telah termeterai antara kedua parti Melayu itu.

“Tahniah, muafakat UMNO dan Pas telah membenihkan satu kemenangan dalam PRK Rantau. Kemenangan besar dengan hampir 5,000 undi adalah di luar jangkaan sama sekali,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau selepas menang dengan majoriti 4,510 undi.

Dalam pertandingan empat penjuru itu, beliau memperoleh 10,397 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S Streram mendapat 5,887 undi dan dua calon Bebas, Mohd Nor Yassin dan Malarvizhi masing-masing mendapat 66 dan 67 undi.

Menurut Dr. Mohd Khairuddin, kemenangan undi di semua pusat mengundi kecuali satu, memberi isyarat perpaduan ummah adalah rahsia kemenangan besar dalam konteks demokrasi pilihan raya.

Katanya, kerjasama itu mesti diperkasakan lagi untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau turut menjelaskan, rakyat pelbagai kaum telah beransur menolak PH, dan merupakan manifestasi kegagalan prestasi kerajaan baharu itu dalam tadbir urus ekonomi dan mewujudkan keharmonian bermasyarakat.

“Polisi baharu PH tidak disenangi oleh rakyat. Rakyat Muslim khususnya tidak selesa dengan apa yang berlaku pada Tabung Haji, isu Statut Rom yang membimbangkan institusi beraja dan pengendalian kes kematian Allahyarham Mohd Adib Mohd Kassim.

“Prestasi ekonomi suram di zaman PH menyaksikan peningkatan hutang kerajaan Persekutuan yang drastik, kenaikan harga barang dan kos sara hidup, susut nilai pendapatan rakyat, pembelaan ekonomi warga marhaen seperti nelayan, penoreh, peneroka dan buruh kasar turut menjadi faktor kekalahan PH,” tegas beliau.

Beliau turut menyindir prestasi menteri kabinet PH yang disifatkan sebagai terlalu rendah dengan pelbagai polisi dan keputusan yang sentiasa berubah disebabkan kegopohan serta kurang cermat.

Katanya, pertembungan dalaman antara parti komponen PH yang semakin ketara sepanjang kempen di Rantau juga mengundang kepada kekalahan calon dari PKR itu.

“Mereka tidak bergerak sebagai satu pasukan, (berlaku) pertembungan antara Perdana Menteri dengan yang berangan menjadi perdana menteri bukan lagi rahsia. Ini jauh berbeza dengan kerjasama ditunjukkan Pas dan UMNO,” ujarnya. – MalaysiaGazette