Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Ahli PKR yang terbukti bersalah atas dakwaan menggeledah kereta polis dan terlibat dengan pergaduhan di luar Bilik Gerakan Utama akan dikenakan tindakan disiplin.

Menurut Pengarah Komunikasi parti itu, Fahmi Fadzil kedua-dua dakwaan tersebut akan dibawa ke peringkat Lembaga Disiplin untuk disiasat.

Tambahnya, ia berikutan parti itu memandang serius terhadap kedua-dua dakwaan salah laku sewaktu berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Keadilan memandang serius beberapa dakwaan salah laku atau pelanggaran undang-undang sewaktu PRK Rantau, termasuk dakwaan penggeledahan kereta polis dan pergaduhan di luar Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan.

“Perkara-perkara ini akan dibawa ke perhatian Lembaga Disiplin parti untuk siasatan segera.

“Sekiranya didapati sebarang tindakan telah dilakukan oleh mana-mana anggota PKR yang melanggari tata etika dan disiplin parti maka tindakan tegas akan diambil terhadap anggota tersebut,” katanya menerusi kenyataan media.

Pergaduhan melibatkan penyokong Pakatan Harapan di bilik gerakan parti itu di Bandar Ekar, Rembau malam tadi dipercayai berpunca daripada bayaran kempen PRK Rantau.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui motif sebenar dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Mohamad dalam masa yang sama berkata, polis memburu  lima lelaki yang juga penyokong PH yang bertindak menahan dan memeriksa kereta peronda (MPV) polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, semalam.- MalaysiaGazette