Dr. Sahruddin Jamal

KUALA LUMPUR- Menteri Besar Johor yang baharu Dr Sahruddin Jamal tidak boleh mengikut kata, sebaliknya perlu berani dan tegas.

Menurut wartawan veteran, Datuk A.Kadir Jasin, meskipun Sahruddin seorang yang pendiam namun sikapnya kini perlu berubah.

Dalam masa yang sama barisan exco dan pemimpin parti juga perlu memberi tunjuk ajar dalam perihal mentadbir negeri kepada Menteri Besar yang baharu itu.

“Berkenaan Dr Sahruddin, ada yang memberi tahu saya bahawa beliau pendiam dan kurang bercakap dalam mesyuarat exco.

“Sekarang beliau tidaklah boleh diam lagi atau mengikut apa orang lain kata. Beliau mesti berani dan tegas.

“Saya harap anggota Exco, ADUN dan pemimpin parti beri sokongan dan tunjuk ajar kepada beliau dan serentak itu memantau prestasi beliau,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu perlu sedar tujuan rakyat memilih Pakatan Harapan pada pilihan raya yang lalu, dan menterjemahkannya menerusi tanggungjawab yang digalasnya kini.

Kadir turut menyarankan agar Sahruddin menjadikan Datuk Osman Sapian sebagai pengajaran apabila mencatat rekod menyandang jawatan menteri besar paling singkat.

“Kalau beliau kekal dan berjaya menunaikan tanggungjawab kepada rakyat jelata dan memenuhi aspirasi mereka barulah beliau layak menerima ucapan tahniah.

“Saya cadangkan beliau “berguru” dengan bekas Menteri Besar, Osman Sapian, tentang mengapa tempoh perkhidmatannya begitu singkat,” tambahnya.

Dr Sahruddin dilantik Menteri Besar Johor ke-17 susulan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian, 8 April lepas.

Belia menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, pada 9.30 pagi, hari ini. – MalaysiaGazette