Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery (Gambar fail)

AL RASHIDIN (Syria) – Pastinya kebanyakan masyarakat dunia tidak akan menyangka Kota Al Rashidin di Syria ini, dahulunya sebuah kota perniagaan yang maju, dan didiami lebih 30,000 penduduk sebelum ia hancur dibedil Bom Barmil oleh rejim Bashar al Assad sejak lapan tahun dahulu.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata kota itu kini menjadi ‘bandar tinggal’ selepas perang tercetus di negara ini, yang mana ramai penduduknya lari menyelamatkan diri, dan jika ada hanyalah mereka yang mahu mempertahankan tanah air mereka, serta golongan fakir miskin, yang tiada pilihan untuk mengambil risiko berhijrah ke tempat baharu.

“Sebenarnya ramai yang tidak tahu Al Rashidin adalah salah satu kota perniagaan terkenal antaranya dalam perhotelan, pasar raya besar dan perniagaan barangan elektronik, namun yang tinggal kini hanya runtuhan-runtuhan bangunan yang rebah dibedil rakus bom rejim saban hari,” katanya kepada Bernama di sini, pada Sabtu yang mengikuti Misi Bantuan Kemanudiaan Resque Syria kali ke-12.

Ahmad Sani turut menceritakan sejak perang tercetus lapan tahun dahulu, kota yang terletak hanya satu kilometer dari barat kota Aleppo itu sering dibedil sekurang-kurangnya 200 Bom Barmil sehari, yang merupakan sejenis bom berbentuk tong seberat sekitar 150-250 kilogram diisi dengan bahan letupan serta buangan industri berat .

Misi Bantuan Kemanusiaan Rescue Syria kali ke-12 itu, memfokuskan bantuan kepada pelarian di Syria.

Sembilan delegasi Mapim berjaya masuk ke Kota Al Rashidin itu bagi meyaksikan sendiri keadaan terkini kemusnahan dan keperitan perang.

Aktivist MAPIM juga sempat masuk ke kota Hayyan dan Kafar Hamra bagi menyampaikan bantuan kepada 100 keluarga dengan jumlah penerima seramai 700 pelarian di kedua-dua kota itu.

Ahmad Sani menegaskan delegasinya menghadapi 1,001 macam cabaran bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian yang terkandas di dalam Syria, kerana perlu sentiasa bergerak pantas dan berhati-hati dalam setiap langkah bagi menghadapi sebarang kemungkinan atau serangan tidak dijangka oleh pihak rejim.

Ahmad Sani turut merayu rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan bantuan berupa wang ringgit bagi Misi Kemanusiaan Rescue Syria kali ke-12 boleh berbuat demikian di www.tabungsyria.com atau Maybank 5628-3463-6987 (Syria Emergency Appeal) agar pelarian Syria dapat terus disantuni dan merasai nikmat serta meringankan penderitaan yang dihadapi selama ini.- BERNAMA

Tinggalkan Jawapan