Ong Kian Ming
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Dr. Ong Kian Ming (kiri) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan (kanan) bercakap semasa membuat lawatan kerja di Huawei Malaysian Global Training Centre (MGTC), Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 APRIL 2019

CYBERJAYA – Pelabur asing bukan hanya beri impak positif terhadap aliran pelaburan langsung asing (FDI) malah kepada rakyat keseluruhannya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata, pelabur asing akan membuka peluang pekerjaan yang berkualiti kepada warga tempatan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) yang menggesa kerajaan untuk menghentikan pemberian keutamaan dan menyebelahi syarikat kapitalis (besar) atas alasan demi peningkatan FDI.

“Saya baca laporan (itu). Kerajaan komited untuk melihat kebajikan pekerja tempatan termasuk memastikan yang janji kita untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 dalam masa lima tahun ditunaikan.

“Bila gaji minimum perlahan-lahan naik, sudah tentu akan beri manfaat kepada pekerja dalam masa yang sama kita tidak boleh endahkan FDI yang masuk dalam negara. Kerana ini akan sediakan banyak peluang pekerjaan yang baik dalam Malaysia,” katanya kepada pemberita.

Dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), menurut Kian Ming, manfaat bukan sahaja diterima kerajaan dengan langkah penjimatan dan dalam masa yang sama projek tersebut tidak akan menyisihkan penglibatan syarikat tempatan.

“Saya yakin perjanjian (ECRL) akan melibatkan ketetapan dan kelayakan.

“Termasuk tentang jumlah penglibatan tempatan yang diperlukan untuk menyediakan infrastruktur ECRL. Jadi akan ada ‘win win situation’ bukan hanya terhadap kerajaan Malaysia tetapi juga kontraktor China, juga kontraktor Malaysia (tempatan) akan dapat manfaat dalam projek ini,” jelas beliau.

Kian Ming memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan syarikat kontraktor yang terlibat dengan pembinaan ECRL bukan sahaja terbabit dalam pembangunan, malah dalam masa sama akan menyumbang kepada infrastruktur yang berkaitan.

“Saya rasa ada kemungkinan besar bahawa mereka juga perlu beri kepastian bahawa mereka bukan saja akan bina ECRL tapi juga akan melabur dalam infrastruktur dan pembangunan di stesen-stesen sepanjang jalan ECRL,” tambah Kian Ming. -MalaysiaGazette