Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

KUALA LUMPUR – Perjanjian baharu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan kejayaan besar bagi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan membezakan negara itu daripada negara lain yang berurusan dengan kuasa besar Asia berkenaan, kata seorang ahli ekonomi Amerika Syarikat.

Pendapat Pengerusi Jabatan Ekonomi LIU Post, Panos Mourdoukoutas, yang dimuatkan dalam Forbes, berkata Malaysia berani melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh Sri Lanka, Pakistan, dan Filipina untuk membawa Beijing kembali ke meja rundingan bagi mengurangkan kos projek-projek pelaburan yang diluluskan kepada kontraktor Cina.

Beliau berkata Dr Mahathir berjaya menunaikan janji kempen pilihan rayanya untuk merundingkan semula pelaburan China di negara ini, yang lebih banyak memenuhi kepentingan Beijing berbanding Kuala Lumpur.

“ECRL adalah antara puluhan projek infrastruktur China di seluruh dunia – satu usaha untuk menulis mengenai bab globalisasi dan meningkatkan agenda geopolitik Beijing,” katanya.

Beliau berkata masalahnya ialah banyak projek infrastruktur China tidak berdaya maju, kerana ia dibina dengan kos yang melambung dan menyebabkan negara yang terlibat berhutang besar dengan Beijing.

“Inilah perangkap hutang yang Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad cuba elak,” katanya.

Beliau berkata perdana menteri membatalkan projek itu pada Ogos, memaksa China kembali ke meja rundingan.

“Dan beliau menang, seperti yang dibuktikan menerusi perjanjian baharu, yang telah mengurangkan kos projek itu dengan ketara,” katanya.

Minggu lepas, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin mengumumkan bahawa projek ECRL akan disambung semula, dengan kos dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion daripada unjuran asal sebanyak RM65.5 bilion.

Daim, yang mengetuai rundingan dengan China, berkata hasilnya dicapai selepas sembilan bulan rundingan rumit dan mencabar dengan kuasa besar Asia itu.

— BERNAMA