Petronas

KUALA LUMPUR- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan pengambilan alih 100 peratus kepentingan syarikat Singapura, Amplus Energy Solutions Pte Ltd. yang turut dikenali sebagai M+.

Ini sekaligus menandakan penguasaan baharu tenaga boleh diperbaharui peringkat antarabangsa.

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata, ia telah memeterai perjanjian dengan pelabur infrastruktur global, I Squared Capital bagi tujuan pengambilan alih tersebut.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, pengambilan alih tersebut menunjukkan hasrat strategik syarikat di dalam mengembangkan perniagaan tenaga boleh diperbaharui sebagai sebahagian daripada strategi untuk keluar daripada sektor minyak dan gas dan memasuki perniagaan tenaga yang baharu pada masa depan.

“Ini juga merupakan penerokaan antarabangsa kami yang pertama dalam bidang solar dan kami tidak sabar untuk menyediakan penyelesaian tenaga kepada pengguna dalam pasaran yang sedang berkembang pesat ini,” katanya.

Menurut rakan kongsi pengasas di I Squared Capital, Gautam Bhandari, M+ telah berkembang melebihi 400 peratus setahun di bawah syarikat tersebut dan telah memberikan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat korporat di Asia dengan mengurangkan gas rumah hijau dan memerangi perubahan iklim.

“Kami percaya M+ akan terus memainkan peranan utamanya di dalam membangunankan persekitaran lebih hijau pada masa hadapan.

“Terima kasih kepada pasukan pengurusan yang hebat dan kami mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka dan Petronas dalam bidang yang mereka ceburi pada masa hadapan,” katanya.-MalaysiaGazette