Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti empat pegawai dan anggotanya yang didakwa terlibat dalam kes pemerasan seorang lelaki baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kes tersebut yang melibatkan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 10 April lalu.

Katanya, dalam kejadian itu, lelaki berkenaan mendakwa telah ditahan oleh dua individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Ketika itu kata beliau, lelaki tersebut sedang memandu kenderaannya berhampiran UCSI Taman Connaught pada 9 April lepas.

“Difahamkan anggota terlibat membuat pemeriksaan dan menjumpai dadah di dalam kereta pengadu.

Bagaimanapun pihak berkenaan menafikan tuduhan tersebut malah, pengadu mendakwa ditumbuk di bahagian muka oleh anggota terbabit,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Roslan menambah, lelaki itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Cheras dan dia mendakwa diberi dua pilihan sama ada mahu mengaku bersalah atau membayar wang tunai berjumlah RM500 untuk dibebaskan.

Ujarnya, pengadu telah membayar wang tersebut dan dia kemudian dibebaskan oleh anggota terbabit.

“Polis Kuala Lumpur memandang serius dan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku oleh pegawai atau anggotanya.

“Siasatan diteruskan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan dan menurut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (Pemerasan) dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Mendatangkan Cedera).

Roslan dalam pada itu menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kes berkenaan menghubungi ASP Lee Chen Shim (Pegawai Penyiasat Kanan) di talian 016-713 2740, ASP Mohd Hafizee Ismail (Pegawai Penyiasat) di talian 013-358 7571, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette