Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama penyokong selepas bicara kes berhubung dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan Datuk Seri Najib Razak esok.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram memberitahu mahkamah bahawa proses membuat salinan dokumen yang diperlukan pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri itu mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan.

“Proses salinan (fotostat) mengambil masa lebih lama daripada jangkaan dan malah mungkin sehingga pukul 5 petang,” katanya selepas perbicaraan hari kedua bersambung pada sesi petang hari ini.

Sebelum itu, peguam Najib, Harvinderjit Singh memohon agar perbicaraan ditangguh sementara kerana pasukan pembelaan memerlukan dokumen untuk menyediakan soal balas yang sepatutnya terhadap saksi kedua iaitu Azizul Adzani Abdul Ghafar yang merupakan pengurus di Bank Negara Malaysia.

Dalam hujahnya, Harvinderjit berkata, dokumen mereka agak tidak tersusun manakala dokumen pendakwaan lebih teratur.

Namun proses menyalin dokumen masih belum selesai walaupun tempoh sejam sudah berlalu dan jam menunjukkan pukul 4.15 petang.

Sementara itu ketika proses menyalin itu, Najib dilihat membaca buku dengan tekun sementara menunggu perbicaraan bersambung. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan