Anggota penyelamat membawa keluar mayat warga Kanada yang maut selepas terjatuh ketika menyertai aktiviti Zipline di Chiang Mai. foto Bangkok Post

BANGKOK – Seorang pelancong lelaki warga Kanada maut selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti ekstrem Zipline di Chiang Mai, Thailand.

Polis berkata, kunci keselamatan yang dipasang pada mangsa terbuka ketika dia sedang melakukan aktiviti itu di daerah Mae On dan terjatuh dari ketinggian lebih daripada 50 meter ke dalam sungai.

Mangsa yang dikenali sebagai Spencer Charles mati di tempat kejadian.

Kakitangan Flight of The Gibbon, pengendali aktiviti Zipline berkata, kunci keselamatan itu terbuka sebaik sahaja pelancong itu berlepas daripada tempat permulaan.

Ketua Polis Forensik, Tanandon Wittayawutthikul percaya kemalangan itu disebabkan kecuaian oleh pengendali.

“Hanya tiga kabel sahaja digunakan berbanding sekurang-kurangnya lapan kabel untuk memastikan keselamatan pelanggan,” katanya kepada Bangkok Post.

Polis juga mengesyaki nahas itu berlaku kepada perkakasan keselamatan tidak mampu menampung berat mangsa.

Laman sesawang operator aktiviti itu memberi amaran bahasa peserta Zipline yang dikendali tidak boleh berat melebihi 125 kilogram.

Siasatan masih dibuat dan pengendali aktiviti itu telah didakwa dengan kecuaian hingga mengakibatkan kemalangan tersebut.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan telah memerintahkan operasi syarikat itu digantung sementara siasatan dijalankan.

Wakil Flight of The Gibbon pula berkata, kakitangannya telah melakukan pemeriksaan setiap pagi dan zipline itu juga telah lulus pemeriksaan kejuruteraan pada Mac lalu.

Aktiviti zipline yang dikendalikan oleh Fight Of The Gibbon’s popular zipline di Chiang Mai pernah terlibat dalam kemalangan hampir sama sebelum ini.

Pada tahun 2016, tiga pelancong Israel, termasuk budak lelaki berusia tujuh tahun, cedera parah selepas berlanggar antara satu sama lain dan jatuh.

Pada 2015 pula, pelancong Amerika dan pelancong China bertembung sesama sendiri dan mengalami kecederaan parah. Mangsa warga Amerika Syarikat itu pula buta mata susulan kejadian itu.

Tahun itu juga, dua pelancong China meninggal dunia dalam insiden berasingan di Chiang Mai tetapi di bawah kendalian operator berbeza. – MalaysiaGazette