KUALA LUMPUR – Empat nelayan lelaki yang dikhuatiri hilang di Pelabuhan Klang pada Ahad lepas dijumpai di perairan berhampiran Permatang Sedepa, petang semalam.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, keempat-empat mangsa ditemui selamat oleh sebuah bot nelayan di Pulau Ketam kira-kira pukul 5.30 petang.

Empat mangsa terbabit iaitu dua adik-beradik Mohd Faisol, 38 dan Muhammad Firdaus Romle, 25, selain rakan mereka, Mohd Amirul Adli Khairi, 25 serta seorang lagi dikenali sebagai Nazaruddin.

Dalam kejadian 11 pagi kelmarin, keempat-empat mangsa yang menaiki sebuah bot gentian kaca dikhuatiri hilang berhampiran boya merah putih di Pelabuhan Barat pada jarak 0.3 batu nautika dari selatan Tanjung Mahang, Pelabuhan Klang.

Mohammad Rosli berkata, mangsa keluar ke laut sejak Ahad lalu, namun bot mereka hanyut ke Pulau Ketam hingga ke Permatang Sedepa sebelum ditemui bot nelayan lain dan ditunda ke jeti Pulau Ketam.

“Bot mereka gagal dihidupkan kira-kira 5.30 pagi semalam kerana bateri yang lemah. Bot itu hanya terapung dan mula dihanyutkan lebih kurang 7 malam semalam ke perairan berkenaan,” ujarnya.

Katanya lagi, seorang daripada mangsa, Mohd Amirul Adli memaklumkan bot mereka diberi bateri baharu sebelum diiringi pulang ke Jeti Sungai Kembong, Pulau Indah.

Tambahnya, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tiba di jeti berkenaan pada 8.30 malam tadi.

“Operasi mencari dan menyelamat membabitkan hampir 50 pegawai dan anggota serta aset terdiri daripada aset APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Pasukan Polis Marin ditamatkan.

“Terima kasih atas usaha setiap agensi yang terbabit dalam menjalankan tugas dengan penuh komited demi menyelamatkan nyawa. Tidak dilupakan juga kerjasama komuniti nelayan yang turut memainkan peranan dalam operasi berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette