Najib Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada hari ketiga perbicaraan kes dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, sebentar tadi, untuk menghadiri perbicaraan kes dana SRC International Sdn Bhd. yang masuk hari ketiga.

Ahli Parlimen Pekan yang tiba dengan kereta Perdana tepat pada jam 8.50 pagi memakai sut kelabu lengkap bertali leher, kelihatan tenang dan sempat bersalaman dengan media serta penyokong dan orang awam.

Seolah-olah seperti sedia maklum perbicaraan beliau akan memakan masa panjang, Najib turut membawa sebuah buku untuk dibaca sama seperti semalam.

Sebaik sahaja tiba di kompleks berkenaan, Najib terus berjalan dengan diiringi beberapa individu termasuk pengawal serta polis ke dalam kompleks sebelum menaiki lif.

Sama semalam, Najib dilihat tidak ditemani mana-mana ahli keluarganya, namun tetap kelihatan tenang berdepan pengamal media dan orang ramai yang hadir di kompleks berkenaan.

Peguam negara, Tommy Thomas bersama-sama pasukannya juga tiba beberapa minit lebih awal sebelum masuk ke bilik prosiding manakala Tan Sri Muhamad Shafee tiba pada 8.57 pagi.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berdepan dengan tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta milik bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette