Gelagat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menghadiri MIGHT Consultation 2019 di MIGHT Partnership Jalan Impact, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 APRIL 2019

CYBERJAYA- Kekalahan parti pemerintah semasa pilihan raya kecil (PRK) adalah perkara biasa, kata Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelasnya, keadaan itu berlaku kerana rakyat berpendapat tiada perubahan kepada kerajaan sekiranya mereka menang atau kalah dalam sesuatu PRK.

“Kebanyakan parti kerajaan tidak akan mendapat sokongan tinggi semasa PRK kerana tiada perubahan yang akan berlaku.

“Apa pun keputusannya, kerajaan masih kekal sama, kerajaan masih lagi Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai Pakatan Harapan telah kehilangan sokongan apabila merekodkan kekalahan dalam tiga PRK kebelakangan ini.

Dr Mahathir ditemui selepas menghadiri  Forum Menjayakan Industri Rel untuk Masa Hadapan anjuran MIGHT di sini hari ini.

Terbaharu, Pakatan Harapan kalah kepada Barisan Nasional dalam PRK Dun Rantau yang diadakan Sabtu lepas.

Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menang dengan majoriti 4,510 undi menewaskan calon PH, Dr S Streram dan dua calon bebas yang lain.

PRK Rantau merupakan kemenangan ketiga BN selepas Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih. – MalaysiaGazette