Dr. Ahmad Hafizam Hasmi. foto AFFAN FAUZI, 28 MAC 2019

SHAH ALAM – Keberadaan salah seorang saksi inkues kematian anggota bomba iaitu Pakar Forensik Hospital Kuala Kumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi bersama-sama pasukan Pendakwa Raya dipertikaikan peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan keluarga allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Peguam kementerian itu, Syazlin Mansor berkata, beliau melihat  Hafizam pada prosiding yang lalu memberi cadangan soalan  untuk dikemukakan kepada saksi ke-29, Professor Dr Shahrom Abd Wahid oleh oleh pengendali kes .

Sehubungan itu, Syazlin memohon agar Hafizam tidak dibenarkan berada di ruangan itu kerana tidak wajar berlaku sedemikian.

Beliau turut menyarankan sekurang-kurangnya Mahkamah Koroner membenarkan pakar forensik yang bertanggungjawab menjalankan bedah siasat kepada allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim itu duduk di tempat orang awam sebagai salah seorang saksi yang mendengar prosiding sahaja.

“Puan hari ini saya memohon mahkamah tidak membenarkan saksi duduk di sini.

“Saya sebenarnya tiada masalah tapi tarikh yang lalu Hafizam yang menyuruh Timbalan Pendakwa Raya (Hamdan Hamzah) mengemukakan soalan, saya rasa tidak sepatutnya berlaku begitu. Sebab saya mohon merekodkan bantahan saya.

“Kalau boleh Dr Hafizam mendengar saya tidak ada masalah,” katanya.

Peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Kamarulzaman Abd Wahab yang senada dengan Syazlin juga berpendirian kredibiliti perbicaraan akan terjejas dengan kehadiran Ahmad Hafizam di situ.

“Bukan begini caranya.  Dari sudut kredibiliti ada isu sebab saksi berada dalam mahkamah untuk dengar saksi yang lain,” tambahnya.

Namun koroner Rofiah Mohamad selepas mempertimbangkan hujah Hamdan Hamzah sebagai Timbalan Pendakwa Raya menolak permohonan tersebut dan menganggap keberadaan Ahmad Hafizam sebagai pihak pakar yang terlibat dalam kes.

Dari pengamatan MalaysiaGazette Ahmad Hafizam berada bersama-sama pasukan Pendakwa Raya sejak minggu lalu apabila Shahrom dipanggil sebagai pakar yang dirujuk oleh pihak bomba  yang menganalisa punca kematian Adib yang relevan berdasarkan kecederaannya. -MalaysiaGazette