Peguam, Kamarudin Ahmad (tiga kanan), Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Kaum Cina, Tony Tan (dua kiri) dan Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah (empat kiri) dan wakil peniaga peniaga pada sidang media mengenai pembogkaran salahguna kuasa ahli-ahli DAP yang mengugut para pemilik gerai makanan dan pengusaha pasar malam di kawasan Kuala Lumpur di perkarangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 16 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 peniaga yang menjalankan aktiviti menjaja di pasar malam di empat kawasan di sekitar ibu negara mengeluh gara-gara dipaksa membayar lesen berniaga tahunan yang dikutip oleh sebuah persatuan mewakili Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Rata-rata peniaga yang ditemui mendakwa, mereka kini terbeban dengan keadaan itu dan menggesa pihak atasan DBKL menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut.

Difahamkan, badan bukan kerajaan NGO yang menggunakan nama Persatuan Penjaja Pasar Malam itu bergiat aktif mengutip bayaran berjumlah RM210 di empat buah pasar malam di Kuchai Lama, Taman Desa, OUG dan Happy Garden.

Malah, aktiviti itu juga telah berlaku sejak setahun lalu dan diketahui oleh pihak DBKL sendiri.

Seorang peniaga makanan, Loh Kim Hoon, 75, berkata, dia hairan bagaimana boleh ada pihak lain selain DBKL mengutip bayaran seperti itu.

MGF16042019_PENIAGA BONGKAR SALAH GUNA KUASA37
Loh Kim Hoon

Katanya, tidak pernah berlaku sebelum ini kutipan untuk memperbaharui lesen berniaga pasar malam dibuat oleh pihak lain selain DBKL apatah lagi bayaran yang dikenakan terlalu mahal.

“Kalau nak diikutkan bayaran perbaharui lesen hanya RM20 sahaja setahun. Tetapi persatuan ini mahu kutip lebih daripada itu.

“Saya ini hanya berniaga makanan dan kalau menjaja di pasar malam pun pendapatan hanya sekitar RM100 atau lebih sikit sahaja,” katanya yang merupakan ibu tunggal selepas kematian suami beberapa tahun lalu.

Seorang lagi peniaga, Wong Shi Chung, 48, pula mendakwa, dia pernah cuba membuat bayaran terus untuk memperbaharui lesen menjajanya di kaunter DBKL.

Bagaimanapun, dia diberitahu oleh seorang pegawai agar membuat bayaran kepada persatuan berkenaan.

“Saya hairan sejak bila pula ada NGO seperti persatuan itu dilantik untuk buat kutipan bayaran daripada kami.

“Ini memang menyusahkan dan sangat membebankan kepada penjaja orang seperti saya yang hanya menjual barang-barang peralatan rumah,” ujarnya.

MGF16042019_PENIAGA BONGKAR SALAH GUNA KUASA38
Wong Chi Chung

Bagi Chin Kee Heong, 68, pula, situasi yang berlaku telah menimbulkan tekanan kepadanya kerana bukan sahaja tidak mampu untuk membayar malah, pendapatan yang diperoleh hasil daripada berniaga tidak mencukupi.

Jelasnya, jika hendak dibandingkan dengan jumlah bayaran yang dikutip oleh pihak DBKL, persatuan itu sudah memeras penjaja pasar malam lebih 10 kali ganda.

“Mana boleh persatuan itu mengutip bayaran daripada kami.

“Apa kuasanya yang membolehkan kami terpaksa tunduk dan ikut sahaja apa yang mereka mahukan?

“Harap pihak yang berkenaan ambil tindakan segera agar perkara ini tidak berlarutan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast