Tommy Thomas
Reaksi Peguam Negara, Tommy Thomas.

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tommy Thomas ketika memulakan sesi prosiding membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan rasa kesal berikutan penangguhan yang dilakukan semalam kerana ‘kekalutan’ lapan dokumen yang diminta pihak pembelaan.

Kata Tommy, pihak pembelaan juga ada meminta salinan fotokopi dokumen sehingga menyebabkan prosiding terpaksa ditangguhkan dan berjanji tidak akan berulang lagi.

Isu tersebut juga telah diselesaikan hari ini kata Tommy kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Saya ingin menyatakan kekesalan atas apa yang berlaku semalam, kami akan pastikan ini tidak akan berulang sekali lagi pada masa hadapan. Jadi kita boleh teruskan perbicaraan untuk pihak pembelaan memeriksa balas saksi,” katanya pada awal prosiding.

Tommy mengulas kejadian semalam ketika Timbalan Pedakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim selesai menjalankan pemeriksaan utama terhadap Azizul Adzani.

Ketika itu, peguam bela Najib, Harvinderjit Singh memohon prosiding ditangguhkan sebentar bagi membolehkan pihak pembelaan meneliti dan menyusun semula lapan dokumen itu sebelum memeriksa balas saksi itu.

Mahkamah terpaksa menangguhkan prosiding lebih sejam sebelum Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram memaklumkan pula pihaknya mahu lebih masa untuk membuat salinan fotokopi selain daripada menyusun kembali kesemua dokumen tersebut dalam aturan indeks.

Dalam pada itu, prosiding perbicaraan yang memasuki hari ketiga dengan pihak pembelaan menyoal balas pegawai penyiasat Bank Negara Malaysia (BNM), Azizul Adzani Abdul Ghafar selaku dalam operasi geledah AmBank cawangan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Peguam bela Najib, Harvinderjit Singh menyoal balas Azizul berhubung pembabitannya dalam serbuan ke atas AmBank cawangan Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Azizul memberitahu mahkamah selain daripada pasukan beliau, terdapat satu lagi kumpulan lain dari bank pusat itu yang turut melakukan serbuan di cawangan tersebut.

Azizul turut mendedahkan dirinya tidak tahu menahu seandainya ada arahan serbuan diberikan kepada pasukan BNM tersebut.

Semalam Azizul yang dilantik sebagai pegawai penggeledah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau telah menemui Pengurus Cawangan Ambank terbabit, R Uma Devi, dan memaklumkan senarai akaun yang diperlukan BNM bagi tujuan siasatan.

Dokumen termasuk lapan fail berkaitan pembukaan empat akaun Najib, tiga akaun SRC International dan satu akaun anak syarikat SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd disita.

Prosiding berhenti rehat tengah hari sebelum menyambungnya kembali pada jam 2.30 petang, Najib dilihat keluar dari perkarangan mahkamah jam 1 tengah hari.

Pada 4 Julai 2018, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana serupa. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan