Abdul Hadi yang berada di Provinsi Jawa Tengah melihat maklumat Pilres dan PEMILU yang ditampal di papan kenyataan.- Gambar ihsan Facebook Abdul Hadi
Abdul Hadi yang berada di Provinsi Jawa Tengah melihat maklumat Pilres dan PEMILU yang ditampal di papan kenyataan. - Gambar ihsan Facebook Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berada di Provinsi Jawa Tengah hari ini sebagai pemantau proses Pilihanraya Presiden (Pilres) dan Pilihan Raya Umum Indonesia (PEMILU).

Menurut beliau, sepanjang tinjauan perjalanan PEMILU di kawasan itu, banyak perkara boleh dipelajari, terutama kebebasan media dan suasana berkempen.

“Saya turut melawat Masjid Agung Jawa Tengah dan Masjid Agung Demak bagi mengenang jasa ulama dan sultan yang berganding bahu memperjuangkan Islam dan menentang penjajah,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.

Indonesia untuk julung kalinya mengadakan serentak Pilihanraya Presiden (Pilres) dan Pilihan Raya Umum (PEMILU) hari ini, yang menyaksikan penyandang Presiden Joko Widodo (Jokowi) dicabar bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto.

Manakala calon Naib Presiden, Ma’ruf Amin dicabar Timbalan Datuk Bandar Jakarta, Sandiaga Uno.

Seramai 245,000 calon dari 14 parti bertanding merebut lebih 20,000 kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat, Dewan Perwakilan Daerah dan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah dan Bandar di seluruh negara itu, hari ini.

Pada pilihan raya itu, kira-kira 192 juta pengundi berdaftar dijangka mengundi melibatkan 800,000 pusat pengundian dan enam juta petugas pilihan raya. – MalaysiaGazette