Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield hari ini memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Koroner yang tidak membenarkan mereka menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Foto hiasan

SHAH ALAM – Corak yang terhasil pada model patung (mannequin) akibat hentaman pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) mirip dengan kecederaan sagat dan lebam pada dada allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Meskipun tidak 100 peratus sepadan namun bekas Pakar Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Profesor Dr Shahrom Abd Wahid yang menjalankan eksperiman itu berpendapat ia boleh dianggap sama.

Oleh itu beliau percaya Muhammad Adib ditarik dan mengalami kecederaan pada dada depan terlebih dahulu sebelum dihentam sekali lagi sehingga tujuh rusuk kiri belakangnya patah.

“Kita hentakkan pintu pada model patung dan pada masa yang sama ia ditarik keluar jadi kita dapat corak sedemikian rupa (macam dalam gambar) kemudian kita padankan dengan kecederaan pada dada kanan mangsa.

“Kita tolak sekuat hati objek ke pintu EMRS dan menghasilkan corak yang berpadanan gambar ini (gambar dada mangsa yang ada luka sagat).

“Jadi pada pendapat saya corak sebegini lebih terhasil (mirip walau tak sempurna) seolah-olah hentaman daripada pintu EMRS boleh menyebabkan kecederaan sebegini pada dummy,” katanya kepada Mahkamah Koroner hari ini.

Shahrom yang hari ini dipanggil sebagai saksi inkues kematian anggota bomba yang bertugas pada malam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman untuk hari kelima turut menolak sekerasnya bahawa bahu jalan punca kepatahan pada rusuk kanan Adib.

Sebaliknya kesan luka yang dilihat sepadan dengan getah pada daun pintu EMRS.

“Saya cari objek lain yang boleh mengena tubuh masa yang menyebabkan kecederaan berbentuk seperti ini.

“Daripada lakonan (semula) (Polis Diraja Malaysia) PDRM bahagian bahu jalan tidak sesuai. Kita ambil gambar pun tak sesuai juga tidak padan langsung. Memang tidak padan langsung.

“Saya cari sepanjang-panjang bahu jalan kalau ada tombol di bahu jalan, jadi sepanjang-panjang jalan saya tengok tidak ada yang menonjol untuk menyebabkan luka sagat di tengah dada yang bersesuaian dengan tombol getah,” menurut Shahrom.

Sebelum ini, Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi berpandangan Adib dihentam pintu van yang mengundur akibat ditolak jentera jentera Fire Rescue Tender (FRT) kemudian jatuh ke bahu jalan. – MalaysiaGazette