Reni Edriyanti memenangi Anugerah Juara Susu 2019 anjuran Farm Fresh.

KUALA LUMPUR – Niat asal hanya suka-suka untuk meniaga susu.

Namun siapa sangka akhirnya ia menjadi punca pendapatan tetap buat usahawan muda ini.

Apatah lagi ketika itu beliau peminat susu kurma dan mengamalkan meminum produk tersebut ketika hamil anak kedua.

Bagi Reni Edriyanti Sumardi, 28, beliau tidak menyangka kehidupan keluarganya berubah menjadi lebih baik selepas menyertai keluarga pengeluar susu segar jenama Farm Fresh sebagai wakil jualan.

Ibu beranak dua itu percaya pasti ada hikmah di sebalik setiap apa yang dilalui seseorang dan atas alasan itu wanita kelahiran Kampung Bharu di sini gigih mahu membina kejayaan dalam bidang perniagaan susu.

Malah pengalaman Reni yang mula meniaga nasi campur di kaki lima selepas habis peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia berdepan banyak cabaran selain pendapatan harian yang ada pasang surutnya.

ALG_7248
Anugerah Juara Susu (AJS) 2019 anjuran Farm Fresh berlangsung di Hotel Awana Genting Highland baru-baru ini.

Lantaran itu, ia sentiasa mengingatkannya bahawa untuk berjaya seseorang itu tidak boleh leka dan perlu beringat dalam menjalani kehidupan seharian.

“Selepas itu, saya meniagaa nasi campur menggunakan food truck namun kemudian memilih untuk berniaga susu segar kerana sekadar suka-suka bermula Januari 2017.

“Mungkin kerana minat yang menebal dalam bidang keusahawanan di samping mahu mencari pendapatan tambahan bagi menyara keluarga.

“Apatah lagi ketika itu saya sedang hamil dan mengamalkan susu segar kurma yang memiliki banyak khasiat,” katanya yang sarat hamil anak ketiga.

Reni diumumkan pemenang anjuran Anugerah Juara Susu (AJS) 2019 anjuran Farm Fresh yang berlangsung di Hotel Awana Genting Highland, Pahang baru-baru ini.

ALG_7238
Reni Edriyanti bersama Loi Tuan Ee (tengah) dan Azmi Zainal (kanan).

Beliau juga turut memenangi Anugerah Wakil Jualan Terbaik Negeri pada majlis yang dihadiri Pengarah Urusan Farm Fresh Milk Sdn. Bhd., Loi Tuan Ee.

Kejayaan itu kerana beliau berjaya mencatatkan jualan tertinggi di kalangan wakil jualan sepanjang tahun 2018 sebanyak RM400,000.

Bermodalkan RM1,000 ketika itu, Reni kemudian menjual susu segar Farm Fresh dengan mendapat pendapatan permulaan antara RM500 hingga RM1,500 yang dianggap berbaloi sebagai usahawan suri rumah.

Namun siapa sangka, beliau kini berjaya meraih pendapatan antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan selepas berjaya menaikkan perniagaan barunya itu dengan meningkatkan jualan.

Selain menggunakan rangkaian ejen, beliau juga gigih memasarkan susu segar itu di kedai runcit dan sekolah-sekolah.

“Hasilnya, jualan susu segar meningkat mendadak dan jualan memuncak selepas susu kurma yang juga produk baru Farm Fresh menjadi fenomena pada setiap bulan Ramadan.

“Malah bisnes susu segar dan susu kurma terus menjadi tular dan saya memikirkan mungkin ini peluang yang baik untuk saya bergelar usahawan berjaya,” katanya yang mempunyai kira-kira 10 ejen ketika ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Farm Fresh Milk Sdn. Bhd., Azmi Zainal berkata, AJS 2019 diadakan bagi mengiktiraf usaha, komitmen serta kegigihan ejen pengedar dalam meningkatkan jualan dan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, di samping menghimpunkan usahawan produk susu segar di bawah jenama Farm Fresh. – MalaysiaGazette