Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti jualan dengan kebanyakannya membabitkan saham wajaran tinggi akibat kekurangan pemangkin di pasaran.

Sewaktu ditutup, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.56 mata kepada 1,620.9 berbanding paras 1,629.46 sewaktu ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.39 mata lebih rendah kepada 1,627.07 dan bergerak dalam lingkungan 1,615.53 dan 1,627.07 sepanjang dagangan hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan menjangkakan FBM KLCI akan cenderung untuk susut ke arah paras 1,600 dalam masa terdekat ini, dipacu oleh perkembangan negatif dan kesan teknikal ke paras di bawah paras sokongan 1,630 serta akibat penyusutan nilai ringgit.

“Susulan kerugian yang dialami pada Isnin dan Selasa, bursa tempatan itu meneruskan aliran sama hari ini ketika nilai indeks itu terus susut menghampiri 0.7 peratus dan menyebabkannya turun ke paras sokongan hampir 1,600 mata,” katanya kepada Bernama.

Menurut Nazri, aliran penyusutan itu berterusan pada minggu ini susulan laporan pada awal minggu yang menyifatkan bursa tempatan sebagai pasaran utama dengan prestasi terburuk di dunia berikutan penurunan melebihi 3.0 peratus.

“Ia dilihat sebagai kes terpencil bagi pasaran tempatan kerana pasaran global sebaliknya terus meningkat susulan perkembangan asas membabitkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) selain potensi rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China,” katanya.

Kerajaan juga bertindak mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2019 dan menyasarkan untuk menurunkan defisit belanjawan menerusi potongan perbelanjaan dan meningkatkan cukai.

Satu lagi faktor yang kurang memberangsangkan membabitkan tindakan penyedia indeks global FTSE Russell yang meletakkan Malaysia dalam senarai pemantauannya.

Pada masa ini, Malaysia diberi kedudukan ‘2’ (tahap akses tertinggi) Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE (WGBI), namun berpotensi dipertimbang untuk diturunkan kepada tahap ‘1’ yang akan menjadikan Malaysia tidak lagi layak untuk disenaraikan dalam WGBI.

“Kita berharap sebarang kelemahan itu dapat dikekang oleh prestasi semalaman Wall Street yang lebih kukuh. Di peringkat global, ekuiti Amerika Syarikat adalah positif pada awal hari ini susulan peningkatan laporan prestasi suku tahunan sektor kewangan yang mendorong kepada kenaikan yang dialami Wall Street,” katanya.

Selain itu, sentimen pasaran di Bursa Malaysia adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 661 berbanding 208 manakala 365 kaunter tidak berubah, 654 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.10 bilion unit bernilai RM1.85 bilion berbanding 2.49 bilion unit bernilai RM1.79 bilion pada Selasa.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Public Bank dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM22.60 dan RM5.05 manakala Maybank rugi 21 sen kepada RM9, Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM8.92, TNB turun 24 sen kepada RM12.06 dan IHH Healthcare merosot empat sen kepada RM5.530.

Bagi saham aktif, Sumatec untung setengah sen kepada 1.5 sen, Daya Materials tidak berubah pada satu sen, Sapura Energy susut setengah sen kepada 32.5 sen, Bio Osmo dan Eduspec masing-masing berkurangan satu sen kepada 6.5 sen dan 3.0 sen dan Iskandar Waterfront turun empat sen kepada 83 sen.

Indeks FBM Emas kehilangan 72.89 mata kepada 11,471.58, FBMT100 turun 69 mata kepada 11,304.41 dan FBM 70 merosot 125.17 mata kepada 14,306.68.

Indeks FBM Emas Shariah turun 65.04 mata kepada 11,685.82 manakala Indeks FBM Ace susut 86.62 mata kepada 4,599.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kehilangan 112.29 mata kepada 16,687.32, Indeks Perladangan susut 31.48 mata kepada 7,225.94 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 0.73 mata kepada 167.76.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.18 bilion saham bernilai RM1.69 bilion berbanding 1.53 bilion saham bernilai RM1.62 bilion pada Selasa.

Jumlah waran merosot kepada 379.85 juta unit bernilai RM78.74 juta berbanding 491.58 juta unit bernilai RM108.37 juta, semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangannya meningkat kepada 531.76 juta saham bernilai RM80.09 juta daripada 465.64 juta saham bernilai RM65.84 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 420.97 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (290.78 juta), pembinaan (230.25 juta), teknologi (163.46 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (51.22 juta), hartanah (170.19 juta), perladangan (33.59 juta), REIT (9.84 juta), dana tertutup (5,100), tenaga (696.19 juta), penjagaan kesihatan (35.42 juta), telekomunikasi dan media (22.45 juta) dan utiliti (34.82 juta). – MalaysiaGazette